ISKANDAR PUTERI: Projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai yang menelan kos RM700 juta menghubungkan Johor Bahru-Pontian dijangka siap akhir bulan ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, pembinaan jambatan baharu itu diyakini mampu merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi Pontian.

Beliau berkata, lokasi jambatan yang berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dijangka mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi penduduk di kawasan itu. 

“Pembinaan jambatan sepanjang 7.5 kilometer itu berupaya memendekkan masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian daripada satu jam menjadi 15 minit sahaja. 

“Dengan adanya jambatan baharu ini akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi, seterusnya dapat merancakkan ekonomi selain meningkatkan taraf hidup warga setempat.

“Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin di Kukup, Pontian ini adalah salah satu usaha kerajaan Negeri dalam memangkin pembangunan sosio-ekonomi di Pontian supaya lebih membangun setara dengan kawasan bandar,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,  hari ini. 

Mengenai pembangunan dan pelaburan yang dirancang selepas Jambatan Sungai Pulai beroperasi, Ting Han berkata, Pontian telah digazetkan sebagai zon eko-pelancongan di bawah Pelan Mampan Johor 2030.

Beliau yang juga ADUN Paloh berkata, Pontian turut disenaraikan sebagai kawasan bagi aktiviti perikanan dan maritim, pembuatan ringan, pemprosesan makanan dan bahan pembinaan.

“Pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan mengikut pelan perancangan kerajaan negeri bagi meningkatkan pelaburan baharu di semua wilayah di negeri Johor, termasuk di DUN Kukup. 

“Kerajaan negeri menerusi Invest Johor sentiasa menggembleng usaha bagi menarik pelaburan baharu sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk dimanfaatkan oleh seluruh warga dan wilayah di negeri ini termasuk DUN Kukup di Pontian,” katanya. – UTUSAN

 

The post Jambatan Sungai Pulai siap bulan ini, mampu lonjak ekonomi rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *