KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful, 48, didakwa meminta rasuah sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini.

Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa menerima upah bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta.

Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit
Tunku, Bukit Tunku di sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 22 Mac ini.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan di antara RM500,000 hingga RM1 juta dengan seorang penjamin.

“Jumlah itu munasabah kerana kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius dan kami mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

“Kami akui, tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan ini dijalankan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin tidak melebihi RM300,000 dengan seorang penjamin.

“Kedua-dua akaun banknya telah dibekukan oleh SPRM malah isterinya menghadapi masalah kesihatan,” katanya.

Selain Hisyam, Wan Saiful turut diwakili peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berpangkat Datuk antara dua individu yang bakal didakwa berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 9 Disember 2022, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 billion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.

Susulan siasatan itu, beberapa kontraktor mengakui membayar komisen terbabit dengan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Pada 2 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membeku dua akaun bank membabitkan sebuah parti politik bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi. – UTUSAN

The post Jana Wibawa: Wan Saiful mengaku tidak bersalah terima rasuah hampir RM7 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *