PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti menyalahkan beliau dalam isu jawatan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, beliau bukan penyebab Anwar gagal dilantik sebagai Perdana Menteri ketika berlakunya Langkah Sheraton.

“Anwar dan penyokong-penyokong PH tidak henti-henti tuduh saya tidak tepati janji untuk serah jawatan Perdana Menteri kepadanya. Tak habis-habis salahkan saya kerana tak bincang letak jawatan.

“Saya nak terang sekali lagi, peletakan jawatan oleh saya tidak menyebab jatuhnya kerajaan PH dan jika tidak jatuh maka ia boleh sahaja namakan Anwar ganti saya,” kata Dr. Mahathir da­lam kenyataan.

Beliau memberi contoh ba­gai­mana kerajaan United Kingdom tidak jatuh apabila Perdana Menteri meletak jawatan, sebaliknya parti yang meme­rintah tentukan siapa penggantinya.

“Liz Truss baru-baru ini tidak bincang dengan pemimpin lain untuk letak jawatan. Dia letak jawatan apabila merasa tidak dapat sokongan. Begitu juga yang saya lakukan.

“Bezanya, Parti Konservatif masih menjadi kerajaan walaupun Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss letak jawatan,” katanya.

Katanya, yang menjatuhkan kerajaan PH ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menarik keluar ramai ahli mereka dari PH sehingga hilang majoriti dan kerajaan jatuh.

“Jadi salahkan Azmin, Ham­zah dan Muhyiddin dan pengikut mereka yang terlibat de­ngan Langkah Sheraton yang menyebabkan Anwar tidak dapat jadi Perdana Menteri.

“Anwar juga bersalah kerana ia membuat Azmin dan bebe­rapa ahli-ahli Parlimen PKR bersekongkol dengan Muhyiddin. Jangan asyik nak salahkan saya,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan asyik salahkan saya – Dr. Mahathir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *