LARUT:  Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sensitiviti golongan tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Nga Kor Ming yang mendakwa negara akan menjadi negara Taliban sekiranya Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas berkuasa, boleh mengakibatkan ketakutan dan rusuhan.

“Saya rasa dia adalah pemimpin yang paling cetek pemikirannya kerana dia hanya menakutkan dan membakar semangat kumpulan-kumpulan tertentu.

“Sekiranya ada yang membabitkan rusuhan atas sifat beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya akan buat laporan polis dan minta agar pihak polis mengambil tindakan terhadapnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Rambutan di sini semalam.

Hamzah mempelawa Kor Ming datang ke Kelantan dan Terengganu bagi melihat sendiri pentadbiran di bawah kerajaan Pas.

“Dia kena pergi melawat kedua-dua buah negeri itu dahulu, balik barulah dia cerita. Jangan syok bercakap sendiri hingga nanti timbulkan masalah kepada kita,” katanya.

Semalam, Kor Ming Nga mendakwa dasar pelampau yang diketengahkan Pas mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.

Katanya, dasar berkenaan akan menceroboh kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi. – UTUSAN

The post Jangan bakar sensitiviti kumpulan tertentu – Hamzah Zainudin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *