PUTRAJAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan masyarakat agar tidak cuba membeli arnab hidup bagi meraikan kedatangan sambutan Tahun Arnab Air.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan itu dijangka menyebabkan haiwan comel tersebut tidak dipedulikan selepas beberapa bulan dibela kerana kos amat tinggi.

“Mungkin ramai beli konon rai Tahun Baharu Cina sempena zodiak arnab, tetapi selepas perayaan itu binatang ini akan dibuang terabai begitu sahaja,” katanya melalui kenyataan.

Justeru sebagai alternatif terbaik, CAP ujarnya menyarankan pengguna terutama komuniti Tionghua supaya membeli patung berimej haiwan itu yang disifatkan lebih bertanggungjawab kerana harganya juga lebih murah dan pengguna tidak perlu memikirkan kos selenggara atau bahan makanan.

Tahun Baharu Cina 4721 disambut 22 Januari ini merupakan giliran zodiak arnab dengan tema air dan kali terakhir haiwan itu diraikan pada 2011 yang ketika itu bertemakan emas.

Binatang keempat dalam horoskop 12 haiwan kepercayaan Cina; yang telah bermula hampir 2,700 tahun Sebelum Masihi itu, akan berkitar semula untuk tema air selang 60 tahun.

Mengulas lanjut, Mohideen menjangka trend pembelian arnab hidup melonjak kerana ada ingin ‘tuah’ haiwan itu berdasarkan ramai selebriti terkenal dilahirkan pada tahun tersebut.

Antaranya ialah tokoh saintis ternama dunia, Albert Einstein; legenda bola keranjang Amerika Syarikat, Michael Jordan serta bintang bola sepak, David Beckham dan Lionel Messi.

“Walau bagaimanapun CAP bimbang ramai pekedai haiwan jinak dan premis niaga dalam talian akan lebih aktif mempromosikan arnab untuk melariskan jualan mereka,” jelasnya.

Peniaga terbabit kelazimannya akan memberikan banyak maklumat salah dan memujuk ibu bapa membeli binatang itu sebagai ‘teman’ untuk anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Sebahagian besar penjual itu didapati langsung tiada pengetahuan mengenai cara betul penjagaan sebenar arnab dengan cuma dikurung dalam sangkar besi sebagai kandangnya.

Sedangkan, haiwan itu seperti juga kucing dan anjing sepatutnya dilepaskan bebas aktif di kawasan berumput malahan ada jadual pemakanan berkala yang agak ketat serta leceh.

Berdasarkan data dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dianggarkan 94,377 ekor arnab diternak secara komersial di seluruh negara tahun lalu berbanding 93,115 ekor pada 2021.

Selangor kekal muncul sebagai negeri yang paling banyak ternakan haiwan tersebut iaitu 20,535 ekor diikuti Kedah dengan 13,152 ekor, Terengganu (12,001) dan Pahang (9,890).

Hanya Perlis dan Sabah yang didapati tiada penternakan arnab manakala hampir kesemua binatang comel itu dijual di pasaran untuk dijadikan bahan makanan di restoran eksotik. – UTUSAN

The post Jangan beli arnab untuk sambut Tahun Arnab – CAP appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *