PETALING JAYA: Sebelum memasang impian untuk melihat Harimau Malaya beraksi pada Piala Dunia, perbaiki dulu program pembangunan bakat di peringkat sekolah, kata jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, walaupun Malaysia memiliki Akademi Mokhtar Dahari (AMD), tetapi ia tidak mencukupi untuk meletakkan negara ini dalam peta dunia sukan bola sepak.

“Usaha menubuhkan AMD satu langkah yang bagus tetapi setakat sebuah akademi ia belum mampu membantu negara ini melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berkualiti tinggi.

“Bagi saya kita perlu membudayakan dulu bola sepak dan setiap sekolah di negara ini perlu memiliki fasiliti sukan yang baik bagi menggalakkan anak-anak bermain bola sepak,” katanya.

B. SATHIANATHAN

Menurut beliau, pembinaan fasiliti yang baik di sekolah-sekolah amat penting kerana ia akan mendorong minat para pelajar.

Jelasnya, ibu bapa akan memberikan sokongan jika kemudahan sukan yang dibina berkualiti.

“Saya berpendapat Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan perlu ada kerjasama dan komunikasi baik agar pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan dengan cara betul.

“Sekolah-sekolah perlu beri sokongan dan kita tidak boleh bergantung kepada AMD semata-mata,” ujarnya.

Sathianathan yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada lewat 70-an dan 80-an berkata, mengambil contoh Maghribi yang cemerlang pada Piala Dunia 2022, negara itu berjaya membudayakan bola sepak.

Kalau kita ke Maghribi, kita akan dapat melihat di mana-mana sahaja generasi muda mereka bermain bola sepak, padang mereka sentiasa penuh,” tambahnya.

The post Jangan berangan ke Piala Dunia jika pembangunan tak bagus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *