PETALING JAYA: Rakyat diingatkan agar tidak mendewakan ahli politik di negara ini termasuk mencium tangan mereka.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, amalan kuno dan feudal itu perlu dihapuskan kerana kalangan menteri ditugaskan bekerja untuk masyarakat dan bukan untuk diagungkan.

“Tolonglah jangan cium tangan ahli politik, kita semua banyak dosa. Entah-entah dosa rakyat lagi sikit daripada dosa menteri.

“Kita bayar menteri buat kerja, yang kita pergi dewakan dia buat apa? Bukan dia buat kerja percuma. Cium tangan hanya untuk emak ayah kita sahaja,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan menyenaraikan lima amalan yang perlu dibuang oleh semua parti dan ahli politik di negara ini.

Katanya, kalangan menteri, ahli Parlimen serta wakil rakyat tidak sepatutnya mempunyai pengiring dan hanya Perdana Menteri di samping Timbalan sahaja layak untuk berbuat demikian bagi tujuan keselamatan.

Selain itu katanya, amalan membawa beg ahli politik juga perlu dibuang.

“Kalau beg sendiri pun tak boleh bawa, patutlah rakyat kata ahli politik pemalas.

“Seterusnya ialah budaya sambut pemimpin. Boleh tak menteri kurangkan hadir ke majlis dan buat kerja, fikir macam mana nak selesaikan masalah negara,” katanya.

Rafizi berkata, amalan terakhir ialah menggunakan wang rakyat untuk memasang papan iklan yang memaparkan wajah menteri.

“Tolong jangan habiskan duit rakyat pasang papan iklan letak muka menteri. Iklan besar-besar, menteri sengih, tetapi masalah tak selesai.

“Kalau setuju dengan misi hapus budaya bodek ini, kita kongsikan ramai-ramai. Mesti ramai ahli politik jaki dengan saya,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan cium tangan ahli politik, mereka banyak dosa – Rafizi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *