SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK artikel bertajuk Hanya Dr. Mahathir boleh kembalikan kuasa Harimau Asia yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 26 September lalu, saya berpendapat janganlah kita terlalu megah dengan kata-kata yang boleh dikatakan takbur atau bercakap besar dalam perjuangan hidup di dunia.

Sekalipun perjuangan bekas Perdana Menteri itu selama ini berjaya menjadikan Malaysia disegani di mata dunia tetapi tidak perlulah terlalu fanatik dan taksub.

Jangan lupa, cuba singkap kembali perjuangan dan perjalanan hidup para-para nabi dan rasul yang penuh duri dan ranjau dalam memperjuangkan Islam.

Kalau 30 tahun dahulu, kita bersama-sama berjuang menegakkan hukum Allah SWT, sudah tentu masalah rasuah dan penyelewengan tidak mudah berlaku di negara ini.

Ini kerana hanya dengan merujuk kepada syariat Islam sahajalah yang dapat membendung sebarang salah laku jenayah dan akhlak. Sebagai contoh, jika seseorang penjenayah mencuri atau menyeleweng RM5,000, mereka akan dikenakan hukuman potong satu jari. Jadi, undang-undang sebegini akan menyebabkan rakyat takut untuk melakukan jenayah.

Sekiranya kita bercakap atau bertutur sehebat mana sekalipun, tetap tidak boleh menentukan segala kebaikan akan dapat dicapai kerana perjalanan hidup kita di bawah kuasa mutlak Allah SWT. Janganlah kita memperlihatkan diri sebagai orang Islam tetapi setiap tindak-tanduk menunjukkan sebaliknya.

Selagi dalam negara kita adanya ‘lesen-lesen’ maksiat, maka jangan ada pemimpin mendabik dada.

Masihkah kita dalam keadaan buta mata, buta fikiran dan buta hati terhadap bala bencana yang menjejaskan ekonomi negara? Apakah itu semua boleh dihalang oleh kita?

Sekarang kita tidak mahu lagi wujud permainan politik bersifat putar belit dan tipu helah. Dengan itu, sebagai bukti jujur dan ikhlas, barisan pemimpin wajib bersedia membuat aku janji bersumpah untuk memulihkan negara dan tidak terlibat dengan politik kotor selain tidak fikir untuk menang semata-mata.-UTUSAN

Teropong Jauh
Jerantut, Pahang

The post Jangan dabik dada jika masih banyak lesen maksiat di negara kita appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *