SEREMBAN: Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) menasihatkan mana-mana pihak untuk tidak menggunakan premis di bawah selian jabatan berkenaan sebagai tempat berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarahnya, Datuk Norison Ramli berkata, larangan berkenaan merupakan antara senarai garis panduan sebagaimana diedarkan kepada semua kakitangan.

Menurut beliau, pihak jabatan juga diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan pemantauan.

“Kami akan memantau perjalanan PRU15 terutamanya jika berlakunya perselisihan. Kami di peringkat jabatan ada pihak mediator (orang tengah) dengan purata 50 orang di setiap negeri yang akan meredakan keadaan tersebut sekiranya berlaku.

“Kami akan terus melaksanakan program berbentuk perpaduan supaya tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Jalinan Muafakat Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 di Paroi, di sini semalam.

Dalam pada itu, Norison memuji tindakan Pengerusi Rukun Tetangga (RT) yang mengeluarkan mesej sepanduk bagi mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan politik.

“Ada pengerusi RT yang membuat kenyataan walaupun berapa banyak parti politik yang ada, kita tidak boleh berpecah dan mesti bersatu padu. Kita ada hak memilih sesiapa yang disukai tetapi pada masa yang sama kita eratkan silaturahim antara kita,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan guna premis JPNIN berkempen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *