PETALING JAYA: Apa yang berlaku pada Piala AFF 2022, apabila Harimau Malaya terpaksa membawa ramai muka baharu ekoran kehilangan tonggak memberi isyarat kepada semua pemain kebangsaan agar tidak mengejar untuk bermain buat kelab ter­tentu sahaja dalam Liga Malaysia (Liga M).

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berharap, pemain kebangsaan tidak tertumpu kepada pasukan ‘pilihan’ sebagai destinasi, sebaliknya menyarung jersi pelbagai kelab bagi memastikan Liga M lebih kompetitif.

“Kalau boleh pasukan yang terlibat bukan setakat dua atau tiga, kerana kita mahu liga kita berada pada tahap lebih tinggi dan kompetitif.

“Kita tidak mahu hanya pasukan tertentu mampu mempamer permainan di tahap tertinggi, tetapi pasukan lain tidak berupaya bersaing sehingga me­nyaksikan dominasi sebuah pasukan sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan berkata, situasi itu pernah berlaku pada zamannya ketika bergelar pemain apabila bintang kebangsaan cenderung untuk memilih Selangor serta Pahang sebagai destinasi.

Senario sama dilihat berulang ketika ini apabila ramai pemain bintang mengejar untuk menyarung jersi kelab besar, antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Ketika zaman saya bergelar pemain, kebanyakan pemain tertumpu untuk memilih Selangor dan Pahang. Saya rasakan senario sama turut berlaku pada musim depan.

“Kepada pasukan lain, kita tak boleh nak cemburu dengan apa yang JDT telah lakukan sehingga hari ini, kalau boleh contohi mereka, kena tingkatkan pasukan untuk menarik lebih ramai pemain terbaik,” katanya.

Ketiadaan 11 pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya pada Piala AFF mendorong Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon memanggil ramai muka-muka baharu, termasuk dua tonggak naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero untuk Piala AFF 2022.

The post Jangan hanya ‘mengejar’ pasukan tertentu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *