SERDANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin mendakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal menjadi calon Perdana Menteri sekiranya pengundi memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bee Yin yang juga penyandang kerusi Parlimen Bakri berkata, perkara itu dilihat berdasarkan barisan calon-calon yang diketengahkan dan dipilih BN pada pilihan raya umum kali ini.

“Kalau pilih BN (akan) dapat Zahid (sebagai Perdana Menteri), jangan mimpi Ismail Sabri (akan jadi Perdana Menteri), Ismail Sabri tidak akan jadi Perdana Menteri kerana berdasarkan pencalonan (calon) BN ia jelas menunjukkan jika BN menang, Zahid akan jadi Perdana Menteri.

“Untuk PH, kita ada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai (calon) Perdana Menteri dan bakat-bakat dalam PH kita ada Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Gobind Singh Deo, Mat Sabu dan Anthony Loke.

“Anthony Loke dan Wee Ka Siong banyak beza (ketika) LRT rosak, Anthony Loke terus pergi (tapi) Wee Ka Siong tak tahu dia pergi mana,” katanya pada sesi soal jawab ketika program Orang Muda Jom Bubble Tea di Sri Serdang hari ini.

 

YEO BEE YIN

Sebelum ini, pihak pembangkang melalui kempen mereka mendakwa BN bakal melantik Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memperoleh kemenangan pada PRU15.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO kekal sebagai calon Perdana Menteri BN, apabila parti itu diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, sekiranya PH menang pada PRU15, gabungan tersebut perlu memastikan kestabilan politik dalam kalangan parti-parti di bawahnya.

“Kita kena pastikan kita sentiasa berkomunikasi, menjaga hubungan baik dan berada dalam arah yang sama tapi susah untuk tukar kerajaan kerana (sekarang) sudah ada akta anti lompat parti.

“Maka kita boleh jadi kerajaan lima tahun dan selepas itu rakyat ada hak untuk menilai prestasi kita kalau tak baik, tukar, kalau baik bagi peluang lagi,” ujarnya.

Bee Yin juga berpendapat, tempoh ideal bagi sesebuah kerajaan untuk mentadbir negara adalah selama 10 tahun bagi merasai impak daripada pentadbiran dan polisi yang diwujudkan.

“Jadi saya sangat berharap akan ada keajaiban yang berlaku iaitu PH boleh menang PRU15 dan kita pastikan lima tahun kemudian kita menang lagi, kita tunjukkan kepada rakyat bahawa Malaysia layak mendapat kerajaan yang lebih kompeten, bebas rasuah dan lebih berjiwa rakyat,” katanya.

Bee Yin yang merupakan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah kerajaan PH pada 2018 menggantikan Gobind yang bertukar ke Parlimen Damansara.

Parlimen Puchong bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Bee Yin, aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (Barisan Nasional) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional). – UTUSAN

The post Jangan mimpi Ismail Sabri jadi PM – Yeo Bee Yin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *