LANGKAWI: Rakyat khususnya penduduk daerah ini diminta memilih wakil rakyat yang sesuai memimpin negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tidak memaksa calon untuk terus berkhidmat kepada mereka walaupun usia sudah mencecah satu abad.

Anak kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin berkata, rakyat memerlukan pemimpin yang boleh bekerja untuk mereka tanpa mengira waktu dan umur calon seharusnya diambil perhatian semasa memilih wakil rakyat yang sesuai.

“Kalau kita (berada) dalam politik, mesti ada had. Janganlah sampai 100 tahun kita terus berpolitik, ini bukanlah satu benda yang sihat. Kalau pun kita sayang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad biar beliau berehat.

“Beliau pun negarawan yang banyak berjasa untuk Malaysia. Tapi kita mesti lihat apa yang efektif untuk orang Malaysia dan orang Langkawi. Kita perlu wakil rakyat yang boleh bekerja, yang boleh bersama rakyat setiap hari, siang dan malam.

“Berkempen pun benda yang sangat susah, mengambil masa lama. Jadi kalau untuk orang tua kita tak akan nak paksa mereka buat kerja macam ini sampai 90 atau 100 tahun,” katanya ketika hadir ke Pertandingan Futsal Piala Ketua PDM Bukit Malut di Ulu Melaka, malam tadi.

Katanya, pengundi Langkawi mungkin menghadapi dilema untuk memilih calon yang sesuai pada PRU15 kerana ada yang mahu menghargai jasa yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh tersebut.

Namun Mohd. Nazifuddin yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, warga pulau pelancongan itu memerlukan individu yang memahami isu-isu anak muda dan keperluan mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, rakyat boleh menilai kepentingan untuk mengembalikan kerajaan kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kestabilan dapat dicapai dan bukannya bertukar tiga Perdana Menteri seperti yang berlaku pada penggal lalu.

Katanya, pada PRU14 rakyat telah memilih untuk menukar kerajaan hanya kerana mahukan pentadbiran yang berbeza tanpa mengetahui apa yang akan terjadi kepada negara.

Jelasnya, anak muda yang pertama kali mengundi dapat menilai sendiri kesan kepada negara sekiranya mereka tidak mengembalikan BN sebagai parti pemerintah di negara ini.

“Jangan kita tukar kerajaan dan kita dapat dua tiga Perdana Menteri hingga negara pun masih kucar-kacir. Kita nak satu kerajaan memerintah sampai habis penggal, Perdana Menteri yang boleh bawa kita ke arah kemajuan untuk Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

The post ‘Jangan paksa calon umur satu abad bekerja lagi’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *