TUMPAT: Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa hujan lebat, laut bergelora dan banjir di negeri-negeri Pantai Timur tidak menjejaskan stok bekalan ikan negara.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman berkata, hal ini nelayan di kawasan Pantai Barat masih meneruskan kerja-kerja menangkap ikan susulan cuaca baik di kawasan berkenaan.

Menurutnya, walaupun berlaku sedikit penurunan dari segi stok pendaratan ikan namun ia tidak menjejaskan sumber makanan itu.

“Sungguhpun berlaku penurunan, namun kita masih mempunyai stok ikan sejuk beku. Saya yakin dan percaya stok ini mampu menampung permintaan.

“Disebalik MTL, masih ada golongan nelayan yang turun ke laut untuk mencari rezeki. Bagaimanapun, kumpulan ini mempunyai kelengkapan untuk memboleh mereka turun ke laut,” katanya selepas merasmikan Program Jiwa Murni di Kompleks LKIM Geting, di sini hari ini.

Tambanya, seramai 1,250 nelayan di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah kenal pasti terlibat dengan banjir kali ini.

Dalam perkembangan lain Yusoff memberitahu, hampir 30,000 nelayan daripada 130,000 golongan itu di negara ini dikesan masih belum mendaftar sebagai ahli Persatuan Nelayan Kawasan di bawah selian Jabatan Perikanan.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Perikanan hanya 90,000 sahaja setakat ini yang sudah berdaftar sebagai ahli.

“Justeru kita menyeru supaya nelayan tersebut yang belum berdaftar sebagai ahli supaya berbuat segera bagi nasib mereka terbela dan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kita juga meminta kerjasama pihak pengerusi nelayan setiap daerah supaya memantau nelayan tersebut supaya menjadi ahli,” ujarnya.-UTUSAN

 

The post Jangan panik, bekalan ikan cukup di musim banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *