IPOH: “Keputusan perlawanan tidak penting. Saya mahu lihat, apa yang pemain boleh lakukan di atas padang.”

Itu penegasan Ketua Jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim selepas Bos Gaurus dimalukan kelab amatur, PIB FC 0-2 dalam aksi persahabatan pertama di bawah bimbingannya kelmarin.

Kata Teong Kim, terlalu ba­nyak kesilapan yang dilakukan pertahanan, terutama pada babak pertama menyebabkan mereka dihukum lawan yang beraksi dalam Liga M3.

Bagaimanapun kata Teong Kim, dalam aksi tersebut beliau dapat melihat kemampuan setiap pemain yang diturunkan.

PERAK akan diuji oleh Kelantan United, Ahad ini.

“Memang keputusan perlawanan mendukacitakan tetapi saya lihat aspek-aspek positif dipamerkan terutama pada babak kedua.

“Kami mencipta banyak peluang tetapi dikecewakan oleh ketiadaan penyudah.

“Saya sedar penyokong akan kecewa dengan keputusan ini tetapi saya sedang membentuk pasukan,” katanya.

Menurut Teong Kim, beliau akan terus menguji pemain dalam beberapa perlawanan selepas ini.

Semua pemain akan diberi peluang membuktikan kemampuan sebelum melakukan pemilihan pasukan bagi musim 2023.

The post Jangan panik, Perak hanya uji pemain – Teong Kim appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *