SAUDARA PENGARANG,

RAKYAT marhaen ingin menyatakan beberapa tuntutan kepada semua calon dari pelbagai parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mereka berharap tuntutan ini mendapat perhatian jemaah menteri yang akan dibentuk selepas kerajaan baharu menang PRU15. Tuntutan ini amat penting dilaksanakan bagi membantu rakyat marhaen sejak penularan pandemik Covid-19.

Selagi kerajaan baharu ini tidak menangani kemiskinan dalam kalangan rakyat, maka ia akan dianggap sebuah kerajaan yang gagal. Tuntutan ini melibatkan pelbagai sektor masyarakat termasuk pekerja kontrak dalam bidang pembersihan dan pengawal keselamatan di bangunan kerajaan tidak mahu dipinggirkan daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan.

Pekerja ekonomi gig pula membuat tuntutan supaya dimasukkan di bawah perlindungan Akta Kerja 1955 dan mewajibkan majikan mencarumkan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

Tuntutan pemandu lori pula ialah mereka tidak akan dihukum untuk kesalahan jalan raya. Misalnya, saman untuk muatan melebihi had harus ditanggung oleh majikan, bukannya pemandu.

Mereka juga mahu kerajaan memastikan majikan mematuhi peruntukan dalam Akta Kerja 1955 iaitu menikmati cuti berbayar termasuk cuti rehat mingguan, cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum.

Ladang

Bagi golongan petani, mereka menuntut kerajaan negeri menghentikan pengusiran dari tanah kerajaan yang sedang diusahakan selaras dengan hasrat mewujudkan jaminan makanan.

Para penternak pula mahu kerajaan mengawal harga makanan ternakan dan memastikan syarikat perladangan swasta menghentikan pengusiran penternak dari kawasan ladang mereka.

Kerajaan harus menjaga kebajikan pengeluar daging dan susu tempatan dengan memastikan pengeluaran permit import (AP) dikawal dan tidak menjejaskan penternak tempatan.

Turut tidak boleh dilupakan tuntutan pesawah yang mahu menukar semua subsidi input untuk pengeluaran padi berbentuk baja dan racun kepada bentuk tunai/baucar. Kerajaan juga perlu meningkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan mengembalikan segera bayaran wang sara hidup yang telah dihentikan.

Tuntutan ini perlu dipenuhi bagi mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk di pelbagai sektor dan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Selepas diserang Covid-19 sejak 2020, kemiskinan dalam kalangan golongan marhaen yang sudah pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menjadi lebih parah.

Sebarang janji untuk perubahan semasa pilihan raya tidak membawa faedah jika ia tidak ditunaikan. Maka, apa yang diperlukan di sini adalah sebuah kerajaan berjiwa rakyat dan boleh menunaikan semua tuntutan ini. – UTUSAN

GABUNGAN MARHAEN, Kajang, Selangor

The post Jangan pinggir suara rakyat marhaen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *