KANGAR: Kerajaan negeri memandang serius isu dominasi peniaga Thailand di Padang Besar dan akan memastikan peniaga di situ khususnya di Kompleks beli-belah Pavilion yang bakal dibuka tidak lama lagi terdiri dalam kalangan peniaga warga tempatan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga bercadang mengenakan syarat-syarat tertentu kepada para peniaga selepas ini bagi memastikan isu berkenaan diselesaikan.

MOHD. SHUKRI RAMLI

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, isu berkenan berlarutan disebabkan sikap peniaga tempatan sendiri yang mengambil jalan mudah menyewakan premis atau tapak perniagaan kepada peniaga warga Thailand.

“Kita harap peniaga tempatan ini berniaga sendiri dan tidak mengambil jalan mudah menyewakan tapak kepada warga asing.

“Peniaga Thailand selalunya mengatakan mereka hanya be­kerja namun hakikatnya mereka yang mengusahakan perniagaan itu selepas menyewa daripada peniaga tempatan.

“Kita pandang serius ini dan akan bincang mengenakan syarat-syarat bagi memastikan Padang Besar benar-benar melibatkan peniaga tempatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, isu kewujudan pe­niaga Thailand yang mengaut keuntungan di sekitar kawasan arked niaga Padang Besar berlarutan sejak berpuluh tahun lalu dan turut memberi kesan kepada peniaga tempatan.

Malah, sejak kebelakangan ini, kebanyakan peniaga tempatan di kawasan lokasi tumpuan pelancong itu juga mendakwa semakin bimbang dengan dominasi peniaga Thailand di sini. –UTUSAN

The post Jangan sewa kepada warga asing – MB appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *