BHUBANESWAR: Walaupun sudah sebelah kaki ke peringkat crossover tetapi ketua jurulatih Malaysia, A. Arul Selvaraj tetap mahukan kemenangan dalam aksi menentang New Zealand di Stadium Kalinga hari ini.

Kemenangan ke atas Black Sticks membolehkan skuad hoki negara menamatkan Kumpulan C di tangga kedua untuk bertemu Sepanyol yang dijangka menjadi pasukan ketiga Kumpulan D di peringkat crossover nanti.

Jika tewas, tugasan lebih sukar menanti Malaysia kerana perlu berdepan tuan rumah, India atau England sebagai naib juara Kumpulan D bergantung kepada keputusan masing-ma­sing hari ini.

Arul menuntut prestasi yang lebih bertenaga daripada anak-anak buahnya selepas dilihat ‘bergelut’ untuk menewaskan pasukan ranking terendah kejohanan, Chile 3-2 di Rourkela pada Isnin lalu.

“Kemenangan amat penting kerana tiada perlawanan yang mudah di Piala Dunia.

“Apa gunanya kalau berikan persembahan terbaik tetapi anda tewas, jadi menang tetap menang.

“Di sini saya mahukan keputusan sama ada anda menang 1-0 atau 10-0, kemenangan tetap menjadi perkara paling utama.

“Sekarang saya tidak fikir siapa lawan kami di crossover, saya hanya mahu kami menang menentang New Zealand. Piala Dunia empat tahun sekali, jadi pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, Malaysia berdepan tamparan besar apabila kehilangan khidmat penyerang, Muhammad Shahril Saabah untuk aksi bertemu New Zealand disebabkan kecederaan hamstring kiri ketika menentang Chile.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah mencatat enam kemenangan dan enam seri tetapi tewas 13 kali sepanjang 25 pertembungan dengan New Zealand sejak kali pertama bertemu pada Piala Dunia 1975.

Kali terakhir skuad negara menewaskan New Zealand sewaktu perlawanan ujian pada November 2018 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil de­ngan keputusan 4-2 hasil jaringan Muhammad Razie Abd. Rahim, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil, Faizal Saari dan Nik Aiman Nik Rozemi.

The post Jangan sia-siakan aksi Piala Dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *