PETALING JAYA: Gara-gara tidak memakai jaket keselamatan ketika menyertai misi bantuan banjir anjuran Yayasan Ikhlas di Pantai Timur, pelakon dan pelawak, Bell Ngasri terpaksa berdepan kecaman.

Bell yang memakai jaket coklat dan topi merah, bagaimanapun menjelaskan dia hanya menaiki bot yang dipandu penduduk kampung di kawasan selamat.

“Ketika musibah, bukan semua benda ada persediaan. Jadi, jangan tahu hendak hentam sahaja. Daripada kalian sibuk nak tahu saya pakai baju apa, lebih baik datang dan bantu sendiri,” tulisnya dalam Instagram.

Bell juga pada masa sama mengalu-alukan orang ramai yang ingin memberikan sumbangan ikhlas terhadap mangsa banjir boleh melakukannya menerusi pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Semoga air kembali surut dan mangsa banjir terselamat serta dijauhkan daripada musibah besar. Kalau boleh, saya hendak lihat semua orang bergembira dan tidak mahu mereka bersedih lagi,” katanya.

Penjelasan Bell itu bagaimanapun, mendapat kritikan banyak pihak, malah pemegang watak Barkoba dalam telefilem 16 Puasa dan 17 Puasa itu turut disarankan memakai jaket keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Di sebalik kecaman yang diterimanya itu, ramai turut mendoakan kesejahteraan Bell dan berharap misi murninya itu dipermudahkan.

The post ‘Jangan tahu hentam sahaja, datang bantu mangsa banjir’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *