SAUDARA PENGARANG,

JIKA diperhatikan keadaan jalan raya di negara ini, ia semakin baik sama dari segi struktur, keselesaan, keluasan, ketinggian (dari aras banjir) dan lain-lain. Pun begitu, masih terdapat beberapa aspek perlu dipertingkatkan lagi sesuai dengan penambahan jumlah kenderaan berdaftar.

Baru-baru ini, ada kajian antarabangsa berkaitan taraf keselamatan jalan raya di seluruh dunia. Malaysia mendapat tempat ke-12 paling bawah daripada 59 negara. Hasil kajian mendapati jalan raya di negara ini mempunyai kualiti terburuk di dunia dari segi keselamatan.

Walaupun kita boleh berbangga dengan jumlah lebuh raya yang ada, namun ia sebenarnya tidak menjamin keselamatan pengguna. Bahkan negara ini mencatat kadar kematian kemalangan jalan raya yang tinggi, iaitu 22 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Sementara dalam kajian berasingan, Malaysia tersenarai 10 negara yang mempunyai jalan raya paling bahaya untuk pemanduan selain Thailand, India, Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan Argentina.

Pada pandangan saya, beberapa keadaan yang dianggap bahaya adalah air hujan bertakung di permukaan jalan di sebabkan sistem pengaliran dan longkang tidak baik serta kurang penyelenggaraan, garisan putih atas jalan yang pudar dan menyukarkan pemanduan pada waktu malam, lubang-lubang lambat ditampal dan kualiti tampalan rendah, tanda arah jalan dan tanda keselamatan tidak jelas, tiada lampu jalan atau sering tidak menyala di tempat-tempat tertentu, membiarkan pokok-pokok tua tanpa ditebang dan diburukkan lagi sikap serta cara pemanduan kurang berhati-hati serta berhemah.

Oleh itu, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak bekuasa tempatan (PBT) dan konsesi lebuh raya perlu meningkatkan kualiti jalan-jalan di bawah tanggungjawab mereka.-UTUSAN

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

The post Jangan terus biar Malaysia catat tempat terburuk kajian appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *