PONTIAN: Pemimpin atau ahli UMNO yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diminta tidak bersikap menikam dari belakang untuk kepentingan diri semata-mata.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, sebaliknya mereka perlu berlapang dada dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti yang tentu mempunyai alasan yang kukuh, termasuk memberikan laluan kepada muka baharu sejajar dengan usaha mengangkat kepimpinan muda untuk masa depan.

“Jika sebelum ini mereka disokong sebagai calon oleh parti, tibalah masanya mereka ini membantu pula calon baharu dengan mengambil tindakan sebaliknya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO yang mengambil keputusan ‘menyeberang’ ke parti  lawan  kerana ingin dipilih sebagai calon pada PRU-15.

Ahmad yang juga penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Pontian ditemui pada Majlis Bersama Rakyat anjuran Felcra di Benut, dekat sini hari ini.

Setakat ini, bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Maran,  Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib akan bertanding sebagai calon di bawah Perikanan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan bahawa pucuk pimpinan tidak pernah mengenepikan para pemimpin yang telah berjasa kepada parti dan negara.

“Muhasabah diri adalah lebih baik ketika ini mengapa tidak dicalon semula daripada bertindak berpaling tadah dengan menyokong parti lawan yang selama menjadi musuh kita,” katanya.

Menurutnya, dinamika politik pada waktu ini memerlukan gabungan ‘orang lama dan baharu’ selain memenuhi kuota 30 peratus yang telah diberikan kepada golongan wanita pada kali ini.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik kesediaan beberapa pemimpin UMNO yang tidak dicalonkan turut  membantu calon baharu yang dipilih di kawasan Parlimen masing-masing yang jelas menunjukkan mereka mengutamakan parti daripada kepentingan peribadi. – UTUSAN

 

 

The post Jangan tikam belakang – Ahmad appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *