MUKADIMAH
PEMILIHAN Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali bertanding di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya amat mengejutkan.

Biarpun pertama kali bertanding, namun tidak mustahil Mohd. Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya mampu mencipta kemenangan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AMRAN MULUP, anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam itu berkongsi misinya menawan semula Parlimen berkenaan.

UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat peluang BN untuk menang di Hang Tuah Jaya setakat ini?
MOHD. RIDHWAN: Insya-Allah saya melihat ada peluang untuk BN menang. Saya tidak menolak peluang itu dapat menawan semula Hang Tuah Jaya kerana rakyat sudah sedar sewaktu pemerintahan 22 bulan PH, banyak kepincangan berlaku dan kestabilan politik juga tidak ada.

Rakyat juga harus melihat track record BN sepanjang 62 tahun memerintah negara sejak kemerdekaan, banyak pemimpin kita membawa kemajuan dalam semua bidang sehingga Malaysia dikenali di mata dunia.

Saya yakin tema BN ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ untuk PRU15 ini untuk dibawa kepada rakyat kali ini.

Penerimaan rakyat apabila Datuk diumumkan sebagai calon?
Walaupun ini kali pertama saya bertanding, namun sokongan yang diberikan amat menggalakkan dan saya makin bersemangat untuk menggunakan tempoh masa yang ada berjumpa seramai mungkin pengundi di sini.

Saya sebagai pemimpin muda memang mereka alu-alukan. Mereka juga ada menyuarakan kepada saya pelbagai masalah yang perlu diatasi jika diberi mandat. Wakil rakyat sebelum ini gagal menyelesaikan banyak masalah dihadapi mereka.

Perlukah ada elemen menyerang peribadi lawan semasa berkempen. Pendapat Datuk?
Dalam kempen saya tidak fokuskan kepada politik kebencian. Apa yang saya ingin fokuskan adalah soal kebajikan dan ekonomi penduduk yang menjadi fokus orang ramai, malah orang muda dan orang lama. Itu lebih penting, kita hendak bawa kemakmuran untuk rakyat yang bersandarkan kepada politik yang stabil.

Ini fokus kita jika BN berjaya merampas kembali Parlimen ini.

Apa ikrar dan janji Datuk kepada pengundi di Hang Tuah Jaya jika BN menang?
Jika diberi peluang menjadi wakil rakyat di sini, apa yang ingin saya lakukan adalah menyelesaikan banyak isu berkaitan infrastruktur yang tersangkut kelulusan dan peruntukan di peringkat kerajaan Pusat. Sejak dua penggal ini, suara penduduk di sini tidak kedengaran dibawa ke Parlimen.

Jika saya diberi mandat oleh penduduk di Hang Tuah Jaya, saya akan cuba sedaya upaya bawa perkara ini supaya segala keperluan dapat diselaraskan dengan baik.

Selain itu, kita lihat isu berkaitan banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan di sini seperti di Ayer Keroh, Bukit Katil, Kandang dan Ayer Molek. Proses kelulusan mengambil masa yang agak lama. Hang Tuah Jaya juga sebagai sebuah bandar yang membangun banyak membina pangsapuri, namun banyak isu yang tidak diselesaikan dengan sempurna.

Jika diberi peluang, inilah perkara-perkara utama yang akan saya perjuangkan dan laksanakan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Harapan Datuk untuk pengundi di Hang Tuah Jaya?
Harapan saya, mohon kepada orang Hang Tuah Jaya dapat memberikan peluang dan ruang mewakili suara rakyat di Hang Tuah Jaya. Saya anak kelahiran Bukit Katil dan sepanjang masa akan berada di sini.

Sesiapa sahaja boleh berjumpa saya tanpa ada had dan waktu. Itu janji saya, insya-Allah saya akan membantu menyelesaikan apa sahaja masalah. – UTUSAN

The post Janji anak Bukit Katil untuk penduduk Hang Tuah Jaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *