PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon kerjasama awam untuk memberi ulasan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) projek resort di Pulau Redang, Terengganu.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya, agensi itu memaklumkan bahawa ia bakal melibatkan sebanyak sembilan lot dengan keluasan keseluruhan ialah 33.12 hektar.

“Projek tiga fasa ini dijangka memberi impak positif dan negatif terhadap alam, namun pelbagai langkah mitigasi sudah pun diperincikan dalam laporan EIA tersebut,” jelasnya.

Berdasarkan hantaran itu, penggerak projek, The Taaras Beach & Spa Resort (Redang) Sdn. Bhd. bercadang melaksanakan pembangunan pelancongan bercampur di pulau itu.

Ia bakal siap dalam tempoh masa 10 tahun meliputi hotel dan vila percutian, kuarters pekerja untuk kapasiti 130 staf serta lengkap segala prasarana dan kemudahan awam.

Projek berkenaan terletak di Teluk Dalam, Mukim Pulau Redang, Daerah Kuala Nerus tetapi 41 peratus kawasan hutan dan sungai di situ akan kekal langsung tanpa diganggu.

Cadangan pembangunan tapak pelancongan itu dijangka memberi pemandangan indah perairan teluk dan bukit hutan simpan kekal selain mengambil kira zon penampan sesuai.

Mengulas lanjut, JAS berkata, projek ini boleh diteruskan dalam konteks pembangunan rangka kerja mampan dan mempromosikan Pulau Redang sebagai destinasi percutian.

Lokasi peranginan yang beriklim tropika di Laut China Selatan itu cuma terletak kira-kira 30 kilometer nautika dari Merang, Setiu serta merangkumi gugusan sembilan buah pulau.

The Taaras sebenarnya sudah ada premis resortnya di pulau itu terletak dua kilometer dari Lapangan Terbang Redang dan projek kali ini dianggap sebagai perluasan kawasan.

Ringkasan eksekutif dan laporan EIA projek ini boleh diperoleh dari Perpustakaan JAS di ibu pejabatnya di Aras 1, Wisma Sumber Asli, Presint 4 di sini sehingga 26 Januari depan dan disediakan pihak JAS Negeri Terengganu di Wisma Alam Sekitar, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu selain Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sendiri.

Ulasan bertulis ini perlu diserahkan sebelum atau pada 10 Februari 2023 dan orang awam juga boleh menghubungi penggerak projek itu di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Malah ringkasan laporan ini boleh didapati daripada jururunding EIA projek iaitu Europasia Engineering Services Sdn. Bhd., di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor. – UTUSAN

The post JAS mohon ulasan awam EIA projek resort di Redang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *