PUTRAJAYA: Dua jawatan presiden dan timbalan presiden dicadangkan untuk tidak dipertandingkan bagi mengelakkan mudarat lebih besar berlaku ke atas parti UMNO pasca pemilihan nanti.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor berkata, mana-mana pihak tidak perlu termakan umpan kononnya UMNO tidak demokratik jika dua jawatan ini tidak dipertandingkan.

Ini kerana, katanya, kepentingan survival UMNO di dalam negara lebih penting daripada memenuhi kehendak peribadi segelintir pemimpin kerana kepentingan orang Melayu hanya dapat diperjuangkan jika UMNO ‘hidup’.

“Adakah kita bimbang anak muda tidak mendekati UMNO kerana dua jawatan ini tidak dipertandingkan? Tidak sama sekali. Anak muda memerlukan platform untuk berpolitik. Tentunya mereka ada platform Pemuda dan Puteri sebagai asas mereka untuk berpolitik.

“Jadi apa kaitannya dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden? Tiada kaitan langsung. Ini hanya suara-suara broker yang melaungkan kononnya anak muda benci UMNO kerana tidak demokratik apabilan jawatan utama tidak dipertandingkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hariri berkata, alasan sebenar UMNO kalah banyak kerusi bukan kerana silap percaturan Presiden, tetapi faktornya adalah ketepatan masa ia dibubarkan adalah lambat disebabkan persepsi fitnah yang melanda UMNO kononnya sebagai sebuah parti korup.

Selain itu, katanya, ia juga adalah angkara sabotaj daripada dalaman UMNO dimainkan oleh pemimpin-pemimpin sendiri yang pro kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau menjelaskan, umum mengetahui, pemilihan UMNO bukan seperti pemilihan parti-parti lain yang mana para pemimpin sanggup berhabis-habisan apabila pemilihan parti diadakan dengan menggunakan pelbagai cara untuk meyakinkan perwakilan memilih mereka.

“Ketika ini tohmahan, cacian dan fitnah akan menjadi makanan demi menjatuhkan lawan masing-masing. Akan ada dua pihak yang berusaha mencapai kemenangan. Tentunya pihak yang kalah akan merajuk dan mencari alternatif lain untuk menyambung karier politik masing-masing.

“Sejarah membuktikan bahawa Pas dan Semangat 46 semuanya lahir selepas pemilihan UMNO dibuat apabila pencabar-pencabar jawatan Presiden UMNO mengalami kekalahan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengimbau kembali kecemerlangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan mengemudi UMNO sejak 2018 apabila parti UMNO hilang kuasa di Kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun ada tekanan untuk mengharamkan UMNO, kes-kes mahkamah yang sengaja direka sebagai ugutan, mereka kekal mempertahankan UMNO ini daripada dibubarkan.

“Beberapa Pilhan Raya Kecil dikemudi oleh mereka berdua sebagai pembangkang ketika itu, bermula daripada Cameron Highland sehinggalah ke Tanjong Piai. Semuanya mencapai kemenangan yang membanggakan.

“Ini diteruskan lagi dengan kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana UMNO-BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga,” katanya. – UTUSAN

The post Jawatan tertinggi UMNO tidak wajar dipertanding, kekal kestabilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *