ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC dengan agregat 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu memastikan Harimau Selatan kekal di landasan memahat sejarah memburu empat trofi musim ini selepas muncul juara Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan memberi tekanan kepada pasukan lawan sejak minit pertama.

Keadaan itu memaksa pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee lebih banyak bertahan bagi mengelakkan bolos gol awal setelah ketinggalan 0-1 pada aksi perlawanan pertama di Stadium Likas sebelum ini.

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva diasak pertahanan Sabah, Dominic Tan. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Fernando Forestieri menguji keampuhan benteng terakhir lawan pada minit kesembilan dengan melepaskan rembatan deras jarak jauh, namun percubaan itu berjaya ditepis penjaga gol, Damien Chien Khai Lim.

Juara Piala Malaysia musim 2019 itu hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-17 berpunca daripada sepakan bebas Arif Aiman Hanapi, namun hantaran pemain sayap itu gagal dimanfaatkan Natxo Insa yang tidak dikawal pemain lawan.

Pada minit ke-25, Khai Lim terus mempamerkan kecemerlangan dengan menafikan percubaan berganda Bergson Da Silva untuk memastikan gawang skuad Badak tidak dibolosi sehingga tamat babak pertama.

Bergson sekali lagi dinafikan Khai Lim pada minit ke-29 setelah percubaan penyerang kelahiran Brazil itu berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah itu.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi melepasi dua pemain pertahanan Sabah FC pada separuh akhir kedua Piala Malaysia malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Mesin gol JDT itu akhirnya berjaya merobek gawang Sabah pada minit ke-35 selepas memanfaatkan hantaran Corbin Ong yang tidak dikawal dengan melakukan tandukan terbang melepasi kawalan penjaga gol.

Enam minit berselang, gawang Sabah dibolosi lagi hasil jaringan Forestieri untuk meletakkan JDT pada kedudukan yang selesa pada minit ke-41.

Gerakan berpunca daripada Afiq Fazail bijak mencari Arif Aiman yang melakukan larian ke dalam kotak sebelum memberi ruang kepada Forestieri melakukan rembatan deras menggegar gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Kim Swee cuba menghidupkan sisa peluang Sabah untuk ke pentas akhir Piala Malaysia dengan memperkuatkan jentera serangan dengan membawa masuk N. Thanabalan.

Sabah mengejutkan tuan rumah apabila merapatkan kedudukan dengan menghukum kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias yang gagal menangkap kemas sebelum Taiki Kagayama pantas menolak bola ke dalam gawang lawan pada minit ke-47.

Bidoglio memperlahankan rentak permainan dengan melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mematikan momentum pasukan lawan untuk bangkit pada perlawanan tersebut.

Pada masa kecederaan, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah Akhyar Rashid yang baru dibawa masuk dijatuhkan Gerald Gadit , malangnya gagal disempurnakan Safawi Rasid apabila sepakannya melambung tinggi.

Syafiq Ahmad yang dibawa masuk menggantikan Bergson menghasilkan gol terakhir perlawanan untuk memastikan JDT melangkah ke final dengan bergaya.

JDT akan mengetahui siapa lawan mereka pada pentas akhir apabila Terengganu menerima kunjungan Selangor FC dalam separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus esok. – UTUSAN ONLINE

The post JDT ampuh ke final Piala Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *