JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio bertekad melengkapkan musim gemilang Harimau Selatan dengan menjulang Piala Malaysia, Sabtu ini.

Bidoglio berkata, kejayaan merangkul trofi Piala Malaysia itu membolehkan JDT membolot semua piala yang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Setakat ini JDT sudah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan kejuaraan Liga Super manakala JDT II pula menjuarai Liga Perdana.

Jelasnya, penting bagi anak buahnya merampas piala tertua itu, sekali gus mengubati kekecewaan kecundang 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada aksi final musim lalu.

HECTOR BIDOGLIA

“Memenangi Piala Malaysia musim ini penting bagi JDT bagi melengkapkan musim gemilang pasukan setelah merangkul semua piala yang dipertandingkan dalam Liga M tahun ini.

“Justeru, saya akan memastikan skuad Harimau Selatan menempa satu lagi sejarah penting bagi kelab untuk menjulang piala berprestij ini.

“Ini juga akan menjadi medan buat pemain untuk menebus kekecewaan pada musim lalu setelah tewas pada perlawanan akhir. Saya akan pastikan piala ini berada dalam genggaman JDT,” katanya.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi berjaya melepasi dua pemain pertahanan Sabah FC pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pengendali berusia 54 tahun itu berkata, anak buahnya berdepan laluan sukar untuk menempah slot ke perlawanan akhir setelah pasukan Sabah FC memberikan tentangan hebat sebelum menang dengan agregat 4-1.

Namun, pemain menunjukkan kesungguhan dengan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kami.

“Ia adalah satu perlawanan yang sukar dan mereka juga beraksi dengan agresif. Pemain terpaksa bekerja keras untuk menembusi benteng lawan bagi memperoleh dua gol pada babak pertama.

“Walaupun mereka berjaya merapatkan jurang, pemain tidak terkesan dengan kedudukan itu dan berjaya menangkis kebangkitan lawan,” katanya.

The post JDT mahu bolot semua trofi yang ada appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *