PETALING JAYA: Hampir sedekad Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi Liga Malaysia (Liga M), dengan penstrukturan baharu liga, peminat bola sepak tempatan berharap ada pasukan lain akhirnya mampu mencabar Harimau Selatan.
Begitupun, melihat kepada prestasi musim lalu, selain persiapan pramusim, JDT yang menutup musim 2022 tanpa sebarang kekalahan, malah meninggalkan pencabar terdekat, Terengganu FC dengan kelebihan 12 mata kekal sebagai pilihan mempertahankan kejuaraan kali ke-10 berturut-turut.
JDT memegang sejarah sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya merangkul empat kejuaraan – Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim lalu.
Harimau Selatan juga satu-satunya kelab dari Malaysia yang akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023, sekali gus meletakkan mereka di tahap berbeza.
Sepanjang bergelar juara, cabaran paling sengit pernah dihadapi JDT sehingga perlu menunggu perlawanan terakhir adalah pada 2014 iaitu dicabar Selangor dengan perbezaan tiga mata, selain 2015, di mana Sri Pahang memaksa Harimau Selatan hanya memiliki kelebihan dua mata.
HRH Major General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Crown Prince of Johor speaks about the 2023 season, JDT’s targets and the new Southern Tigers Kit [With English subtitles]
Watch the full video at https://t.co/UXJWU8xIT7 pic.twitter.com/on0QrDpA9m
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 21, 2023
Begitupun, tahun-tahun berikutnya, laluan mereka amat mudah, selain hanya tewas sekali sepanjang bergelar juara.
Bukan mahu menindakkan kemampuan pasukan-pasukan lain, namun Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari masih pasukan sama seperti dulu, sukar digugat.
Aksi Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC esok akan menjadi ujian pertama untuk melihat bagaimana Solari mencorak pasukannya.
Kelibat Juan Muniz, Endrick dos Santos, Diogo Luis Santo, Oscar Arribas dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pastinya antara yang paling mencuri tumpuan.
Penjaring terbanyak musim lalu, Bergson Da Silva yang meledak meledak 41 gol daripada 31 perlawanan kekal mengetuai serangan, manakala Arif Aiman Hanapi bakal menjadi pilihan di sayap kanan.
Walaupun pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim cuba merendah diri dengan hanya menyasarkan kelompok tiga terbaik Liga Super, realitinya, mereka mampu melakar lebih daripada itu.
“Untuk musim ini kita menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik, manakala saingan Piala FA kita sasarkan layak ke suku akhir dan pada saingan Piala Malaysia pemain muda akan diberikan keutamaan untuk beraksi.
“Ia bagi memberi ruang kepada mereka mendapat minit permainan dan kita juga akan bersaingan di Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Kita cuba untuk melepasi saiingan peringkat kumpulan dan jika ada rezeki akan masuk ke suku akhir,” kata Tunku Ismail.
The post JDT mampu kekalkan kuasa kali ke-10 appeared first on Utusan Malaysia.