ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) yakin mempunyai kekuatan di semua posisi dari gawang, pertahanan, tengah hinggakan serangan untuk menjinakkan Terengganu FC malam ini, sekali gus memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) 2023 dengan mendakap Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Kepulangan semula penyerang berbisa, Diogo Luis Santo menjadikan Harimau Selatan cukup menggerunkan.
Gandingannya bersama penjaring terbanyak musim lalu, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri bakal memberi kekuatan luar biasa buat Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ketika perlawanan pramusim yang lalu, pasukan kami telah beraksi pada tahap tinggi dengan permainan intensiti tinggi, cuma ada sedikit ruang yang perlu diperbaiki.
“Kita mempunyai ramai pemain berkualiti termasuk muka baharu yang menyertai pasukan musim ini. Saya percaya siapa yang diturunkan mampu melaksanakan tugas dengan baik bagi menambah trofi untuk pasukan,” kata Penolong Jurulatih JDT, Pablo Ricchetti.
Bagi Ketua Jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner, perhatian berlebihan yang diberikan kebanyakan peminat dan pemerhati bola sepak kepada JDT adalah perkara baik buat pasukannya untuk turun tanpa tekanan dan beraksi lebih tenang.
Pengendali kelahiran Croatia itu optimis mampu memberi saingan di tempat lawan dan memenangi aksi Sumbangsih buat kali pertama sejak 2001.
“Kita sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai, malah aksi pramusim di Thailand berjalan lancar,” katanya.
The post JDT sedia mengganas, Terengganu FC tenang appeared first on Utusan Malaysia.