PORT DICKSON: Pengunjung berpeluang menyertai aktiviti menarik permainan literasi kewangan melalui Jejak Pelabur Bijak, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 yang sedang berlangsung di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, di sini, sejak 24 November lalu hingga 30 November ini.

Selain Jejak Pelabur Bijak bagi pengunjung berusia 13 tahun ke atas, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka bagi menyertai aktiviti Jejak Pelabur Cilik khas buat kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Damia Liyana Shamsol Hasni, 16, berkata, dia berpeluang menyertai aktiviti menyusun teka-teki (puzzle) di Jejak Pelabur Bijak dan bagi memenangi permainan berkenaan dengan markah yang tinggi dia perlu menyelesaikannya dalam tempoh yang cepat.

“Ini secara tidak langsung mendidik saya untuk membuat keputusan yang cepat dalam memilih pelaburan atau simpanan. Sekiranya mahu hasil yang lebih besar, keputusan melabur ini perlu dibuat dengan cepat dan bagi saya aktiviti ini dapat menarik minat untuk menyimpan di bawah,” katanya.

Pelbagai aktiviti termasuk untuk kanak-kanak diadakan sepanjang Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di Port Dickson.

Bagi Nor Azli Mohd Nor, 49, yang merupakan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting, Jempol, dia tidak pernah ketinggalan menyertai MSAM pada setiap tahun sebelum pandemik dengan membawa ahli serta guru bagi Kelab Pelaburan Bijak PNB.

Menurutnya, melalui MSAM, pelajar serta guru berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif mengenai pelaburan bagi menarik minat orang ramai mengenai pelaburan serta menunjukkan aset-aset yang dimiliki PNB bagi hala tuju pelaburan yang dibuat orang ramai.

“Seperti hari ini, saya berpeluang melihat secara interaktif aset Merdeka 118. Dari tingkat 116, saya dapat melihat sendiri pemandangan menarik bandar raya Kuala Lumpur. Malah dengan cara hadir ke MSAM ini juga kita dapat mengetahui kaedah terbaik melabur secara selamat di bawah PNB.

“Pelaburan kecil atau besar di bawah PNB semuanya terbukti selamat dan saya juga sentiasa menggalakkan pelajar saya membuat akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) seawal usia muda lagi dengan bimbingan ibu bapa,” ujarnya..

Dalam pada itu, penyelia gerai Jejak Pelabur Bijak, Muhammad Amzar Ahmad Lofti berkata, permainan tersebut mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung terutamanya golongan pelajar.

Menurutnya, terdapat empat bilik di mana bilik satu dan dua di mana pengunjung berpeluang menjana pendapatan melalui permainan yang disediakan dan bilik seterusnya iaitu bilik ketiga dan keempat, khas bagi membuat pelaburan.

“Melalui permainan ini, kami mendidik masyarakat risiko kecil akan menghasilkan hasil yang kecil, manakala, risiko besar akan menghasilkan pelaburan yang lebih besar. Ini adalah asas kepada ilmu pelaburan,” ujarnya..

Menurutnya, masing-masing boleh menjana pendapatan dan kemudiannya didedahkan untuk menggandakan wang masing-masing melalui pelaburan.

“Ini selaras dengan matlamat PNB untuk mengajak golongan muda merancang kewangan dari awal khususnya dan meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat secara amnya,” katanya.

Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 sedang berlangsung di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson sejak 24 November lalu sehingga 30 November ini.

Sementara itu, pelbagai hadiah menarik seperti motosikal dan barangan elektrik turut menanti pengunjung yang bertuah sepanjang penganjuran MSAM 2022.

Bersempena dengan majlis perasmian MSAM 2022 yang diadakan kelmarin, sebuah motosikal Yamaha MT-25 menjadi milik seorang pengunjung, Mujahid Abdul Rahim manakala motosikal Yamaha 135 LC Fi dimiliki oleh Kamaruzaman Othman. – MINGGUAN

The post Jejak Pelabur Bijak suburkan minat melabur seawal usia 13 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *