JELI: Limpahan pembangunan yang dinikmati rakyat di kawasan Parlimen Jeli sejak beberapa tahun lalu adalah hasil usaha dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Barisan Nasional (BN) kerana membawa suara mereka ke Dewan Rakyat sebelum ini.

Calon BN, Norwahida Patuan berkata, rekod pencapaian yang ditunjukan oleh parti jelas menunjukkan mereka tidak hanya bercakap kosong sebaliknya sentiasa berusaha mengotakan janji kepada rakyat.

Menurutnya, berpandukan kepada rekod tersebut, BN dilihat berpeluang cerah untuk terus mengekalkan kemenangan di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Walaupun ketika itu Parlimen Jeli di bawah pimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa), namun, kita perlu tahu semua ini (pembangunan) kerana beliau adalah wakil rakyat BN.

“Jika tidak bersama BN, saya akui ia mungkin sukar untuk dilaksanakan. Kemenangan Tok Pa sebelum ini adalah hasil perjuangan seluruh jentera BN di Jeli,” katanya ketika ditemui pemberita Bukit Bunga di sini hari ini.

Wahida atau senang disapa sebagai Kak Da memberitahu, keputusan Tok Pa ‘berhijrah’ keluar dari BN itu tidak menggugat peluang untuk meraih kemenangan.

Katanya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu hanya keluar secara berseorangan tanpa membawa jentera BN.

“Penyokong dan jentera parti masih kekal bersama BN dan mereka pastinya tidak akan berganjak. Jadi saya yakin Jeli akan kekal di Bawah BN.

“Keputusan Tok Pa tidak bertanding memberikan peluang yang lebih cerah kepada BN untuk menang selain menambah majoriti pada PRU15 nanti,” ujarnya.

Kak Da berkata, walaupun begitu, jentera BN tetap bekerja keras bagi memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka nanti.

Pada PRU15, Kak Da akan ditentang oleh tiga lagi calon iaitu Gabungan  Tanah Air (Dr. Muhammad Daud),Zahari Kechik (Pas) dan Pakatan Harapan (Md.Radzi Wahab).

PRU14 lalu, Tok Pa yang menggunakan tiket Barisan Nasional menang dengan majoriti 6,647 menewaskan calon Pas dan PKR. –UTUSAN

The post Jeli maju hasil usaha BN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *