GEORGE TOWN: Keseluruhan jenayah indeks di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu menunjukkan penurunan sebanyak 2,657 kes atau 43.4 peratus.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ia berdasarkan kiraan nilai ambang bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember 2022 iaitu sebanyak 6,120 kes berbanding dengan jenayah indeks iaitu sebanyak 3,463 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kategori jenayah kekerasan, jumlah nilai ambang ialah sebanyak 1,488 kes berbanding dengan jenayah indeks iaitu 946 kes, penurunan sebanyak 542 kes atau 36.4 peratus.

Bagi jenayah harta benda pula, tambah beliau, nilai ambang ialah sebanyak 4,632 kes berbanding dengan jenayah indeks sebanyak 2,517 kes, penurunan sebanyak 2,115 kes atau 45.7 peratus.

”Secara keseluruhannya, kejayaan yang dikecapi dari segi penurunan kadar jenayah indeks tahun lalu disumbangkan oleh hasil perancangan pada 2021,”katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 8,641 kertas siasatan dibuka dan 4,290 atau 49.65 peratus kertas siasatan telah dituduh.

Berbanding pada 2021, katanya, sebanyak 8,695 kertas siasatan dibuka dan 3,812 atau 43.84 peratus telah dituduh yang mana peningkatan pertuduhan berbanding tahun 2021 adalah sebanyak 478 kes atau bersamaan 12.5 peratus.

Tambah Mohd. Shuhaily, sepanjang tahun lalu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15.56 juta dengan 13,110 orang ditahan.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,494 orang ditahan di bawah kategori bekalan; pemilikan (7,463) dan urin (3,153).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri juga telah diiktiraf berada di kedudukan nombor dua di negara ini yang terbanyak dalam perlucutan harta iaitu RM14.78 juta,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 2,546 kes jenayah komersil dicatatkan dengan jumlah kerugian kira-kira RM122.17 juta berbanding tahun 2021 yang mana 3,209 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian RM538.20 juta.

“Ini menunjukkan berlaku penurunan bagi kes yang disiasat iaitu sebanyak 20.7 peratus serta penurunan jumlah kerugian sebanyak 77.3 peratus pada tahun lalu berbanding 2021,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tahun lalu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri telah menjalankan 1,715 operasi dengan jumlah tangkapan 1,757 orang manakala hasil daripada operasi tersebut mencatatkan penyelesaian kes sebanyak 40.1 peratus. – UTUSAN

 

The post Jenayah indeks Pulau Pinang tahun lalu menurun 43 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *