PONTIAN: Jenazah pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan di Kota Tinggi selepas mengundi, kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Keluarga di Kampung Parit Lancang, Ayer Baloi, dekat sini, semalam.

Adik mangsa, Saidatul Masitah Mohamad Shahridin, 30, berkata, jenazah kakaknya, Saidatul Khadijah, 31, dan Muhammad Izwan Mansor, 37, tiba di Kampung Parit Sulaiman Darat dari Hospital Kota Tinggi (HKT) kira-kira pukul 9.30 malam sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan.

Katanya, sebelum kemalangan tersebut, dia dan mangsa serta tiga beradik lain mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Heng, sebelum arwah dan suaminya ke Taman Scientex, Pasir Gudang.

“Kami adik-beradik tiba di rumah keluarga di Kuarters Kilang Kelapa Sawit Felda Lok Heng pada petang Jumaat untuk mengundi memandangkan kami membesar di sini sejak lahir.

“Ayah berasal dari Kampung Parit Sulaiman Darat sebelum bertemu jodoh dengan ibu, seorang guru dan tinggal di kuarters kilang hingga sekarang.” katanya semalam.

Pasangan Saidatul Khadijah dan Muhammad Izwan meninggalkan seorang anak perempuan berusia dua tahun, Aulia Izzatunniza yang mengalami patah kaki kanan serta berlaku pendarahan dalam kepala dalam kemalangan itu dan dijadual menjalani pembedahan semalam.

Pasangan suami isteri itu dilaporkan maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Alza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di Kilometer 46, Jalan Johor Bahru-Mersing.

Muhammad Izwan adalah pensyarah di Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) manakala Saidatul Khadijah pula pensyarah di Kolej Vokasional (KV) Kota Tinggi.

Sementara itu, seorang lagi adik Saidatul Khadijah, Mohamad Hassan yang dalam kenderaan berasingan menuju ke Kota Tinggi tidak menyangka kakak dan abang iparnya terlibat dalam kemalangan itu.

“Terperanjat saya apabila menghampiri lokasi kejadian ternampak nombor pendaftaran kenderaan milik arwah serta mendengar suara Aulia, lalu saya mengambil dan mendokongnya.

“Abang ipar saya dalam perjalanan untuk mengundi di Pasir Gudang selepas kami semua adik-beradik termasuk arwah kakak selesai mengundi di SK Lok Heng,” katanya yang bertugas sebagai Guru di SK Kampung Peta, Mersing. – UTUSAN

 

The post Jenazah suami isteri maut pulang mengundi dikebumi satu liang lahad appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *