SYDNEY: Negara kepulauan Pasifik menggesa kerajaan Jepun menangguhkan rancangan melepaskan air terawat dari loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut berikutan bimbang dengan masalah pencemaran alam sekitar.

Forum Kepulauan Pasifik (PIF) yang mewakili 17 negara itu menegaskan rancangan itu boleh memberi kesan besar terhadap kawasan penangkapan ikan yang menjadi antara sumber ekonomi utama bagi kepulauan itu.

“PIF ingin menegaskan bahawa rancangan pelepasan air terawat itu tidak harus berlaku sehingga semua pihak mengesahkannya selamat.   

“Kita harus menghalang sebarang tindakan yang akan menjurus kepada bencana pencemaran nuklear terbesar,” kata Setiausaha Agung PIF, Henry Puna dalam satu mesyuarat secara maya di Suva, Fiji.

Minggu lalu, kerajaan Jepun berkata, pihaknya menjangkakan pelepasan air terawat loji Fukushima akan berlaku pada musim luruh atau panas akan datang.

Pengumuman itu sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara Pulau Pasifik yang masih bergelut dengan tindakan ujian nuklear yang dijalankan beberapa dekad lalu.

Jepun telah meluluskan rancangan melepaskan lebih sejuta tan air sisa daripada loji jana kuasa nuklear itu ke laut selepas menjalani peringkat rawatan pada April 2021.  

Dalam pada itu, Puna berkata, penduduk Kepulauan Pasifik juga masih menanggung impak jangka panjang daripada sejarah ujian nuklear yang dilakukan hampir setiap hari.

Dilaporkan, Amerika Syarikat (AS) pernah menjalankan ujian nuklear di kepulauan Pasifik pada tahun 1940an dan 1950an.

Kepulauan Marshall masih terus berjuang untuk mendapatkan lebih banyak pampasan daripada Washington atas kesan kesihatan dan alam sekitar yang berkekalan.

Perancis juga pernah menjalankan ujian atom antara tahun 1966 dan 1996 di Mururoa Atoll di wilayah Pasifik Perancis.

Sementara itu, seorang saintis dari Institut Oseanografi Woods Hole, Ken Buesseler, memaklumkan bahawa panel pakar saintifik PIF menggesa Jepun mempertimbangkan semula rancangan pelepasan air terawat dari loji berkenaan.

Kata Buesseler, hal ini demikian kerana ia tidak disokong oleh data dan masih memerlukan lebih banyak maklumat.         

“Bahan radioaktif bergerak merentasi lautan dengan arus dan air pasang berisiko mencemari hidupan marin,” katanya. – REUTERS  

The post Jepun digesa tangguh pelepasan sisa loji Fukushima appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *