KUALA SELANGOR: Perbuatan mencuri air di sebuah jeti pengumpulan hasil laut di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang di sini, disyaki sejak tiga tahun lalu terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 10.45 pagi itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang mengesan jeti berkenaan melakukan sambungan tanpa melalui meter yang sah dan tiada kebenaran.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai kewujudan penggunaan bekalan air secara haram di premis itu dipercayai sejak 2020.

“Sambungan itu menggunakan paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 32 milimeter yang disalurkan bagi kegunaan aktiviti perkapalan dan harian pekerja.

“Tindakan pemotongan bekalan diambil serta merta dan pihak premis akan dipanggil bagi memberi keterangan serta berdepan tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Mohd. Fazil, kes disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Sabit kesalahan boleh didenda maksimun RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. Notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan kepada premis terlibat dan sambungan haram itu turut disita,” ujarnya.

Tambah beliau, SPAN akan menjalankan operasi secara berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah kegiatan haram itu yang menjadi penyumbang kepada Kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat mengenai perkhidmatan air boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke 013-3885000 atau e-mel ke [email protected]UTUSAN

The post Jeti digempur curi air guna paip haram appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *