SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesan kesalahan pada perhiasan khat ayat al-Quran yang dijual secara meluas oleh peniaga di sekitar Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Nik Azlan Nik Man berkata, pemeriksaan mengejut telah dijalankan di beberapa premis dalam operasi bersepadu bermula sekitar 5 petang semalam dengan kerjasama pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Kami dapati terlalu ketara penjualan perhiasan mengandungi ayat al-Quran yang tidak sempurna. Terdapat kesalahan penulisan pada teks ayat al-Quran tersebut merangkumi kesilapan tajwid, huruf dan ayat yang boleh membawa pengajaran atau makna berbeza,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai di sini semalam.

Jelas Nik Azlan, siasatan mendapati peniaga tidak peka dan mengambil jalan mudah menjual perhiasan ayat al-Quran yang salah serta melanggar Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.

“Konsep al-Quran adalah sifar kecacatan tidak boleh langsung ada kesilapan, walaupun kecil ia boleh membawa makna yang besar. Sepatutnya, sebelum dijual perhiasan mengandungi ayat suci al-Quran perlu mendapat kelulusan percetakan daripada KDN,” katanya lagi.

Nik Azlan memberitahu, pihaknya telah menjalankan risikan sejak 27 Disember lalu susulan penemuan longgokkan perhiasan ayat al-Quran oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dibuang di tepi jalan di kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai di sini.

“Masyarakat diingatkan supaya lebih berhati-hati, buat semakan sebelum membeli dan amaran kepada peniaga, mereka boleh dihukum jika menjual hiasan ayat al-Quran tanpa kelulusan KDN.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 49 dan Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu menghina agama Islam,” katanya.

Tinjauan mendapati, ketika operasi premis itu dijaga oleh lelaki warga Mesir berusia 35 tahun dan mendakwa tidak mengetahui kesilapan pada teks ayat al-Quran yang dibingkaikan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Saiful Saadon berkata, sebuah premis menjual perhiasan ayat al-Quran telah diarahkan tutup kerana beroperasi tanpa lesen sejak empat bulan lalu.

“Pemilik kedai ini mempunyai banyak rangkaian tetapi masih belum membuat permohonan lesen bagi premis di sini. Semua barang yang dianggarkan bernilai RM20,000 telah disita sebagai bukti dan hanya dilepaskan apabila permohonan lesen dibuat. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Tred dan Perindustrian 1996,” katanya.-UTUSAN.

 

The post JHEAINS kesan kesalahan pada perhiasan ayat al-Quran dijual di Nilai 3 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *