RANTAU PANJANG: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyediakan Skim Bantuan Bencana Alam sehingga RM10,000 untuk membantu kerja-kerja membaik pulih rumah golongan berkenaan yang rosak akibat musibah banjir.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Zambery Jefrydvv Darus berkata, skim sedia ada itu turut melibatkan bencana alam lain seperti ribut, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya.

Menurutnya, pesara yang terjejas banjir boleh membuat permohonan dan JHEV ATM akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti jumlah bantuan layak diterima berdasarkan kemusnahan struktur rumah yang dialami.

“Maksimum jumlah bantuan ini adalah RM10,000. Kita telah kenal pasti 2,500 veteran ATM yang terjejas banjir seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, kita jangkakan mungkin ada struktur kediaman veteran ATM rosak dan mereka boleh memohon skim berkenaan,” kepada pemberita selepas program bantuan banjir Di Kelantan dan Terengganu di Masjid Baiturrahman, Kampung Gual Nering di sini hari ini.

Zambery Jefry memberitahu, sepanjang 2021 sebanyak RM457,134 dibelanjakan membantu veteran atau orang tanggungan yang mengalami kerosakan struktur rumah akibat bencana alam.

Katanya, bagi tahun lalu JHEV ATM  masih lagi mengumpul maklumat dan sedang mengenal pasti mana-mana veteran yang terlibat dengan musibah berkenaan.

Zambery Jefry berkata, JHEV ATM sentiasa komited dalam menjaga kebajikan veteran apabila memperuntukkan RM500,000 bantuan untuk kit bantuan banjir kepada 2,500 veteran yang terkesan banjir seluruh negara.

“Bantuan kit banjir itu mengandungi pelbagai bantuan penjagaan diri, bantuan makanan sumbangan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MY CARE) dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

The post JHEV ATM sedia bantuan bencana alam bagi pesara tentera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *