KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng menjalani hukuman penjara kerana melanggar perintah injunksi Mareva yang melarang mereka melupuskan aset.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz mengeluarkan perintah komital terhadap kedua-duanya selepas mendapati mereka menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah itu yang dikeluarkan pada 15 Mac lalu.

Mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan tempoh pemenjaraan yang dikenakan terhadap Jho Low dan bapanya.

Perintah injunksi Mareva sebelah pihak (ex-parte) tersebut diperoleh oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam saman berjumlah AS$3.8 bilion terhadap mereka dan empat pihak lain.

Sementara itu, peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB memberitahu wakil media, Jho Low dan bapanya kekal menjalani hukuman penjara sehingga tindakan menghina mahkamah itu `dibersihkan’.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan 1MDB agar kedua-duanya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi Mareva.

Injunksi Mareva adalah perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi Mareva terhadap kedua-duanya yang menghalang mereka melupus atau mengurangkan nilai mana-mana aset di Malaysia berjumlah masing-masing AS$1.03 bilion dan AS$401.5 juta.

Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Hayatul Akmal memerintahkan dua beranak itu mendedahkan lokasi dan harta yang dimiliki mereka dan perintah itu perlu dipatuhi dalam tempoh 14 hari.

Jho Low dan bapanya turut gagal membatalkan perintah injunksi Mareva yang diberikan mahkamah sebelum ini dengan kos RM5,000.

Mahkamah mengarahkan agar perintah itu dihantar ke alamat terakhir kediaman kedua-dua defendan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan kepada peguam mereka.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited memfailkan saman AS$3.8 bilion terhadap Jho Low, bapanya, ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Menurut dokumen mahkamah, Hock Peng dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta.

Injunksi itu juga menghadkan Jho Low dan bapanya mengeluarkan wang tidak melebihi RM20,000 sebulan setiap seorang, yang diperlukan mereka untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Jho Low dan bapanya mesti mendedakan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung aset mereka pada nilai jumlah sama, sama ada di dalam atau di luar negara, di bawah namanya sendiri atau tidak dan milikan secara tunggal atau bersama defendan lain.

Mereka perlu memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima dalam masa 14 hari selepas perintah tersebut disampaikan kepada peguam mewakili dua beranak itu. –UTUSAN

The post Jho Low, bapa dipenjara langgar perintah injunksi Mareva appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *