KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low hadir pada sesi makan tengahari di sebuah hotel terkemuka bersama pengurusan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan beberapa pegawai AmBank, 13 tahun lalu.

Bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad, Kok Tuck Cheong, 67, berkata, beliau diperkenalkan kepada Jhow Low oleh Chan Wan Seong yang ketika itu Pengarah Perhubungan Perbankan AmBank pada perjumpaan yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental di ibu negara.

Menurut saksi pendakwaan ke-40, bagaimanapun, tiada sesi pengenalan secara rasmi dilakukan pada majlis berkenaan yang berlangsung pada tahun 2009 dihadiri di antara lima hingga tujuh individu.

Ketika disoal balas oleh peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Tuck Cheong tidak mengetahui sama ada jamuan itu dibayar oleh Jho Low.

“Boleh jadi pegawai bank dan sebelah pihak lagi (TIA), tetapi memang bukan saya yang bayar,” ujar saksi berkenaan.

Ditanya sama ada perjumpaan makan tengahari itu ada kaitan dengan pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh TIA, saksi berkata mereka tidak membincangkan urusan perniagaan yang serius.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, saksi berkata Jho Low tidak banyak bercakap sepanjang pertemuan makan tengah hari itu.

Saksi menyatakan demikian pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.

Dalam prosiding soal balas, Tuck Cheong turut menyatakan, beliau tidak mengingati sama ada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIA turut hadir pada majlis berkenaan.

Muhammad Shafee: Adakah kamu tahu Jho Low pernah dianggap sebagai penasihat TIA?
Tuck Cheong: Namanya pernah ditimbulkan tetapi ia bukan kenyataan atau fakta yang konkrit.

Muhammad Shafee: Secara rasmi dia berada dalam lembaga sebagai penasihat TIA?
Tuck Cheong: Bukan (penasihat) ketika perjumpaan itu.

TIA ditubuhkan pada Februari 2009 dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

TIA kemudiannya dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada September tahun sama dan dinamakan semula sebagai 1MDB.

Shahrol Azral dalam keterangan di mahkamah sebelum ini berkata, pengambilalihan TIA kepada 1MDB adalah untuk menyembunyikan penyelewengan Najib ke atas bon IMTN berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA.

Shahrol Azral yang juga bekas CEO 1MDB berkata, beliau yakin dasar pengambilalihan itu dirancang oleh Jho Low dengan restu daripada Najib untuk menyembunyikan penyelewengannya ketika penerbitan bon berkenaan dengan Jaminan Kerajaan yang dibuat pada Mei 2009.

Katanya, Jho Low mengarahkannya menulis surat kepada Najib bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslam
ic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN

The post Jho Low makan tengah hari bersama pegawai AmBank, TIA appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *