KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau diperkenalkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu pertemuan di rumah bekas Perdana Menteri di Bukit Tunku, 11 tahun lalu.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, berkata, ketika kereta yang membawanya tiba di rumah Najib, beliau melihat Jho Low keluar daripada sebuah kenderaan lain.

Ujar saksi pendakwaan ke-39, Jho Low kemudian memperkenalkannya kepada Najib sewaktu kedua-duanya memasuki kediaman bekas Perdana Menteri.

Dalam keterangannya minggu lalu, Tek Kuang berkata, beliau bagaimanapun tidak berbual dengan Jho Low dalam pertemuan tersebut walaupun mereka menghala ke rumah Najib secara konvoi bersama beberapa buah kenderaan lain.

Saksi pendakwaan ke-39 berkata, beliau dijemput di kawasan rumahnya oleh pemandu kenderaan manakala Jho Low menaiki kenderaan berlainan.

Menurut Tek Kuang, kehadirannya ke Bukit Tunku bertujuan menyerahkan dokumen pembukaan akaun kepada Najib sebagai persedian bagi menerima deposit tunai AS$100 juta daripada Kerajaan Arab Saudi.

Minggu lalu, Teck Kuang ketika membacakan pernyataan saksi berkata, Najib sendiri memaklumkan bahawa wang AS$100 juta akan dimasukkan ke dalam akaunnya.

Kata saksi, bekas Perdana Menteri memberitahu wang tersebut disumbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan aktiviti berunsur keagamaan.

Saksi menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.

Pada sesi pemeriksaan semula, Tek Kuang diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk menjelaskan pertemuannya dengan Jho Low di rumah tersebut pada 2011.

Sri Ram: Kamu ditanya berhubung kunjungan ke rumah Najib dan kamu kata Jho Low juga ada di sana. Boleh kamu jelaskan?
Tek Kuang: Ketika tiba di rumah Datuk Seri Najib, Jho Low keluar daripada kereta berlainan. Dia kemudian memasuki rumah tersebut dan memperkenalkan saya kepada Datuk Seri Najib.

Sri Ram: Kamu kata kamu agak gementar ketika di sana. Kamu kemudian beredar selepas Najib menandatangani dokumen bank?
Tek Kuang: Ya, saya `cabut’.

Sri Ram: Adakah Jho Low turut meninggalkan rumah Najib bersama-sama kamu?
Tek Kuang: Tidak. Saya tidak tahu dia dimana ketika itu.

Keterangan Tek Kuang hari ini berhubung pertemuan dengan Jho Low, pernah dikemukakannya ketika menjadi saksi perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. pada 2019.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslam
ic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN

The post Jho Low perkenalkan saya kepada Najib -saksi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *