KUALA TERENGGANU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu lebih kreatif untuk menambah hasil melalui kaedah kutipan yang berkesan terutama dalam mengurangkan ketirisan ekonomi gelap.

Timbalan Menteri Kewangan 1,  Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dua agensi pengutip utama cukai itu juga perlu menggunakan kaedah yang lebih kreatif untuk menguatkuasakan peraturan sedia ada dengan lebih teliti.

“Laksanakan perkara-perkara yang boleh mengurangkan the shadow economy (ekonomi gelap) yang bernilai kira-kira 30 peratus dari KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

“KDNK di negara kita lebih kurang RM1.3 trilion, ada kajian dibuat bahawa ekonomi gelap ini bernilai RM350 bilion.

“Daripada jumlah itu, mungkin 20 peratus itulah hasil yang boleh dikutip dengan cukai-cukai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di LHDN Kuala Terengganu di sini hari ini.

Istilah ekonomi gelap adalah merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang dibayar secara tunai tetapi tidak dicatat atau diisytihar untuk cukai.

Ia turut merangkumi hasil daripada rasuah, perjudian tidak sah dan perdagangan haram.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia untuk memperkenalkan semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti dahulu pula untuk membasmi ketirisan tersebut, beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan lagi setakat ini.

“Setakat ini, tidak ada (perancangan melaksanakan GST), tak berani nak sebut, tak ada cadangkan atau bincangkan lagi.

“Tidak ada putuskan dalam mana-mana mesyuarat setakat ini mengenai GST,” katanya. –UTUSAN

 

The post JKDM, LHDN perlu kreatif tambah hasil appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *