TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar di negeri ini apabila menahan sebuah lori di kilometer 129.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, 5 Januari lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut, pihaknya menemukan muatan berisi rokok disyaki barang larangan import sebanyak 2,860,000 batang yang melibatkan nilai anggaran RM258,800 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan berjumlah RM1,910,480.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.169 juta membabitkan sebuah buah lori dan rokok tidak berkastam terbabit.

“Lori tersebut ditahan di tempat parkir kenderaan berat dan dipercayai dalam perjalanan daripada salah sebuah negeri di Pantai Timur menuju ke ibu kota.

“Semasa pemeriksaan, pasukan menjumpai seorang individu berusia dalam lingkungan 50-an dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di bahagian kerusi penumpang dalam lori tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Temerloh di sini hari ini.

Wan Apandi berkata, seorang lelaki tempatan yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan dan sudah pun diikat jamin.

“Rokok-rokok ini diklasifikasi sebagai barang yang dilarang pengimportannya di bawah Butiran Satu (1), Bahagian Dua (2), Jadual Ketiga (3), Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Barang rampasan dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut,“ katanya.

Beliau berkata, modus operandi penyeludupan adalah menyembunyikan rokok tidak berkastam dalam lori yang mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kes ini disyaki dilakukan oleh sindiket penyeludupan rokok melalui pintu masuk pelabuhan negara. Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dengan berurusan dengan barang-barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar,” katanya.

Menurutnya, kesalahan itu turut boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama orang awam diperlukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubung Talian Bebas Tol Kastam, 1-800-88-8855 atau Pejabat JKDM terdekat di semua negeri. Pihak JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya. – UTUSAN

The post JKDM rampas rokok seludup bernilai lebih RM2 juta di Temerloh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *