KOTA KINABALU: Calon kerusi Parlimen Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas menjadikan pengorbanan Hominodun sebagai inspirasi untuk membawa perubahan di Sabah.

Timbalan Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) itu berkata, pengorbanan dan keberanian Hominodun dalam melindungi masyarakat Kadazan, Dusun, Murut (KDM) amat dikagumi.

“Hominodun sanggup korbanan diri sendiri demi masyarakat KDM yang kebuluran dan saya mahu menggunakan analogi itu dengan keadaan sekarang bagi membolehkan saya membawa perubahan di Sabah,” katanya selepas program ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tamparuli malam tadi.

Pemenang Unduk Ngadau 2007 itu juga meminta rakyat Tuaran agar tidak menilai perjuangan dan kepimpinannya hanya berdasarkan paras rupa.

Berdasarkan mitos masyarakat Kadazandusun, Huminodun adalah seorang gadis jelita yang dikorbankan untuk menyelesaikan bencana kemarau yang melanda suatu ketika dahulu. Masyarakat KDM percaya, upacara pengorbanan gadis jelita itu menyebabkan bencana kemarau berpanjangan itu berakhir.

Jo-Anna berkata, rakyat harus menilai keupayaannya untuk berjuang dan menuntut hak Sabah melalui parti Warisan.

“Saya rasa sudah tiba masanya orang di luar sana tidak menilai keupayaan saya dengan melihat paras rupa. Itu bukan satu ukuran kerana apa yang lebih penting adalah saya boleh bekerja atau tidak.

“Jika saya diberi peluang, saya akan membawa perubahan di Tuaran dan mengangkat suara anak-anak muda agar lebih didengari. Pembaharuan dalam kepimpinan penting bagi mengubah Sabah,” katanya.

Walaupun akan berhadapan dengan dua nama besar, Jo-Anna tidak gentar kerana kuasa undi itu berada ditangan rakyat bukan ditangan parti lawan.

Malah jika dilihat sokongan yang diterima sejak hari pertama, semakin meningkat dan ia memberi keyakinan untuk beliau memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

Jo-Anna berhadapan persaingan enam penjuru di kerusi Parlimen Tuaran bagi menentang calon lain seperti Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Joniston Bangkuai dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Muminin Kalingkong @Norbinsha (Pejuang), Bobby Lewat (Bebas) dan Datuk Noortaip Suhaili (Bebas).- UTUSAN

The post Jo-Anna guna semangat Hominodun sebagai simbolik ubah Sabah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *