KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan (Warisan) bagi Parlimen Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas,33, mahu membersihkan Tuaran daripada segala amalan rasuah dan karenah birokrasi yang dilihat boleh menjejaskan perkhidmatan awam.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan itu berkata, beliau mahu memastikan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjadi lebih efisen bagi memenuhi harapan rakyat yang semakin meningkat.

Beliau berkata, Tuaran merupakan daerah yang menempatkan kawasan eko-pelancongan yang menarik maka, persekitaran yang bersih juga akan menggalakkan pengunjung datang ke Kiulu yang berada di kawasan Parlimen ini.

Katanya, mengambil kira faktor jarak yang berada dipinggir bandar raya, Parlimen Tuaran mempunyai limpahan peluang yang tersedia kerana kaya dengan biodiversiti termasuk muara sungai, paya bakau dan bukit bukau yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan menarik.

Kepelbagaian yang ada di Tuaran itu perlu dilengakapi dengan pelbagai kemudahan lain terutama kemudahan penginapan.

Bagi menjadikan Tuaran sebagai hab eko-pelancongan dan agro-pelancongan yang menarik, beliau akan mewujudkan sebuah koperasi yang boleh menempatkan semua pengusaha pelancongan dalam satu kumpulan besar.

Beliau berkata, koperasi adalah salah satu bentuk keusahawan sosial yang mampu memberikan limpahan ekonomi secara saksama kepada semua anggotanya.

Sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, Jo-Anna akan memastikan masalah kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik akan diberi tumpuan bagi memastikan penduduk di kawasan Parlimen itu dapat menikmati kemudahan yang lebih baik.

Di samping itu, isu pendidikan dan liputan internet di Tuaran juga perlu diberi perhatian kerana pertambahan penduduk memerlukan lebih banyak sekolah dibangunkan untuk menampung kapasiti pelajar yang semakin ramai.

Katanya, liputan internet di sebahagian kawasan di Tuaran masih lagi lemah maka, pembinaan menara telekomunikasi perlu ditambah terutama di kawasan pedalaman.- UTUSAN

The post Jo-Anna mahu ‘bersihkan’ Tuaran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *