PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul datang ke Pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini, di tengah-tengah pembentukan kerajaan Persekutuan yang masih tergantung.

Pengerusi PKR Kedah itu menjelaskan, kehadirannya di pejabat Anwar untuk berbincang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri itu tiba pukul 11.30 pagi tadi.

“Saya berjumpa (dengan) kawan-kawanlah (Anwar).

“Saya mahu berbincang mengenai pilihan raya negeri seterusnya. Sebab saya di negeri sebagai ADUN, jadi, saya mesti bersedia apa yang akan berlaku.

“Sebab negeri pun dalam bulan Mei atau Jun mungkin (akan bubar dan pilihan raya negeri), jadi, mesti bersedialah. Apa sahaja pilihan raya akan datang, tidak dapat dielak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Semasa PRU15 baru-baru ini, hanya tiga negeri di Pahang, Perlis dan Perak yang mengadakan pilihan raya negeri secara serentak dengan peringkat Parlimen.

Johari digugurkan pada PRU15, namun anaknya, Dr. Mohamed Taufiq Johari, 26, bertanding di Parlimen Sungai Petani bagi memastikan kemenangan PKR di kawasan itu.

Mohamed Taufiq menang di Sungai Petani dengan undi sebanyak 50,580, menewaskan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Dr. Robert Ling; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shahanim Mohamad Yusoff; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Tan Joon Long. –UTUSAN

The post Johari Abdul jumpa Anwar bincang pilihan raya negeri Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *