KUALA LUMPUR: Keadaan daif infrastruktur di Pasar Keramat yang terletak di ibu negara  boleh diselesaikan jika semua pihak terlibat duduk semeja untuk menyelesaikan isu itu.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun pasar tersebut sudah berusia lebih 40 tanum namun keadaan  di sekitar premis itu boleh `diselamatkan’, secara menang-menang menerusi perbincangan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju dan peniaga.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Titiwangsa itu berkata, beliau sanggup menjadi pengantara antara ketiga-tiga pihak tersebut  bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik buat semua pihak.

“Saya akan jadi pengantara antara persatuan penjaja dan pemaju dengan DBKL. Saya akan bincang untuk mencari solusi menang-menang. Pemaju menang, DBKL menang selepas  enam tahun DBKL mendakwa tidak dapat apa-apa hasil. Saya difahamkan hanya beberapa peratus sahaja yang baru dikutip,” kata beliau selepas melakukan  walkabout di Pasar Keramat pagi semalam.

Menurut beliau, bagi pihak peniaga, mereka juga terjejas sumber pendapatan apabila tidak boleh berniaga dan masalah itu meruncing apabila peniaga dan pekerja di pasar itu mempunyai tanggungan antara empat hingga lima orang.

“Kesan masalah di Pasar Keramat yang tidak selesai menyebabkan lebih ramai terjejas?” kata beliau.

Kata Johari lagi, Pasar Keramat  sewajarnya terus  dibangunkan kerana kedudukan premis itu  strategik termasuk  berhampiran dengan pengangkutan sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

DIJUAL

“Peniaga sudah tunggu terlalu lama dari segi pembangunan, saya difahamkan bahawa tanah ini telah dijual oleh DBKL kepada pemaju enam tahun dulu, tetapi pemaju tidak boleh laksanakan pembangunan, tidak tahu sebab apa.

“Cuma paling penting, bila DBKL menjual tanah dan DBKL dakwa tidak mendapat sepenuhnya pembayaran. jadi apabila penjaja ada masalah pendawaian, tandas, soal jalan berlopak, parkir, isu- isu ini bila mengadu kepada DBKL, DBKL kata bukan dia punya lagi. Pemaju pula tidak buat apa-apa. DBKL dan pemaju yang ada hak untuk membangunkan kawasan ini, tetapi mereka kena duduk berbincang dan buat keputusan.

“Tempat ini ada infrastruktur yang bagus. Jadi kalau boleh saya mahu pastikan kawasan ini mesti dibangunkan secepat mungkin,” kata beliau.

Sebagai rekod, Pasar Keramat mempunyai 334 peniaga, dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ramai peniaga mengeluh berikutan pendapatan mereka yang kini didakwa merosot daripada RM2,000 sehari kepada  kurang daripada RM1,000.

Seorang peniaga, Ali Man, 51, yang lebih 20 tahun berniaga di situ berkata, dia berharap sesuatu akan dilakukan terhadap Pasar Keramat agar peniaga kembali bernyawa.

“Saya tidak tahu kenapa, tetapi yang saya tahu pendapatan hari ke hari makin kurang, tak sampai RM1,000 sehari, dulu RM5,000 pun boleh dapat kalau berniaga pada Sabtu dan Ahad.

“Infrastruktur sini memang perlu diperbaiki. Kalau tidak, macam inilah keadaan kami,” keluhnya. – UTUSAN

The post Johari mahu jadi ‘orang tengah’ selamatkan Pasar Keramat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *