PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tekad merampas kembali Parlimen Titiwangsa meskipun menerima tawaran kerusi lain. 

Johari  yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Titiwangsa istimewa di hatinya kerana beliau dilahirkan dan bersekolah di kawasan berkenaan. 

Justeru, katanya, atas alasan itu, beliau ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat, termasuk isu pembangunan semula Kampung Baru.

Malah, Johari juga tidak menganggap kekalahan kepada Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rina Mohd. Harun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai kekalahan mutlak kerana pencabarnya itu cuma meraih majoriti 4,139 undi. 

“Banyak kerusi ditawarkan kepada saya, tetapi, saya masih mahukan Parlimen Titiwangsa,” katanya, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mengenai persaingan di Lembah Klang pada PRU15 forum Concorde Club di BBCC Gallery.

Untuk rekod, Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13, sebelum dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada 2015 dan seterusnya sebagai Menteri Kewangan Kedua selepas rombakan Kabinet pada 2016.

Dalam perkembangan lain, Johari yakin Barisan Nasional (BN) berupaya merampas kembali enam kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang dikuasai pembangkang iaitu Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Setiawangsa. 

“Dengan calon yang tepat, kita mempunyai lebih 50 peratus peluang untuk menang di kawasan ini. Di sini pusatnya, jika kita ingin mencetuskan ‘tsunami’, ia harus bermula dari sini,” katanya. 

Beliau menambah, PRU15 berbeza berbanding dua pilihan raya umum terdahulu yang mana perubahan besar terutama sentimen pengundi bandar disebabkan isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) banyak memberi kesan kepada keputusannya.

Jelasnya, cabaran parti bertanding pada PRU15 adalah untuk menyantuni golongan muda terutama dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun yang secara automatik didaftar sebagai pemilih.

“Sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan mesti mempunyai Kabinet berwibawa. Tanpa kekuatan itu, kita lihat bagaimana keadaan ekonomi negara sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan perlu memperkenalkan dasar tidak popular jika perlu. Ia mungkin tidak digemari semua tetapi generasi akan datang bakal mendapat manfaatnya,” katanya. –UTUSAN

The post Johari tekad rampas Titiwangsa walau ditawar kerusi lain appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *