JAKARTA: Indonesia mengumumkan rancangan untuk merobohkan stadium yang menjadi lokasi insiden rempuhan mengorbankan 131 peminat bola sepak awal bulan ini.

Presiden, Joko Widodo (Jokowi) berkata, Stadium Kanjuruhan di Malang akan dibina semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA.

Beliau berkata, negara ini juga harus membuat perubahan secara menyeluruh tentang cara menguruskan sukan itu.

Jokowi membuat pengumuman itu selepas bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino semalam.

Indonesia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2023, dan kedua-dua mereka bersetuju untuk membentuk pasukan petugas bersama menjelang acara itu.

Dalam pada itu, Infantino berkata, amat penting bagi peminat yang menghadiri kejohanan itu diberikan persekitaran yang selamat.

“Ini adalah negara bola sepak, sebuah negara di mana bola sepak menjadi kegemaran lebih 100 juta orang.

“Kami berjanji kepada mereka  apabila mereka datang untuk melihat perlawanan bola sepak, mereka akan merasa selamat daripada bahaya,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, peminat terperangkap dalam insiden rempuhan maut ketika cuba meninggalkan Stadium Kanjuruhan selepas kekalahan pasukan tuan rumah Arema FC kepada Persebaya Surabaya.

Enam orang, termasuk pegawai polis dan penganjur berdepan tuduhan jenayah ekoran kejadian itu, yang disifatkan antara bencana stadium terburuk di dunia.-AGENSI

The post Jokowi arah Stadium Kanjuruhan diroboh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *