LONDON: Arsenal telah membawa masuk Leandro Trossard serta Jakub Kiwior pada jendela perpindahan Januari, dan pembelian pemain veteran Chelsea, Jorginho pada saat akhir dilihat pelaburan ‘berisiko rendah’.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu pada mulanya bersedia berbelanja 75 juta pound (RM394 juta) bagi mendapatkan bintang tengah Brighton, Moises Caicedo, namun kegagalan melengkapkan perjanjian me­ndorong mereka beralih ke Chelsea.

Kemasukan Jorginho yang dibeli dengan harga 12 juta pound (RM63 juta) dilihat tepat pada masanya memandangkan ­Gunners terpaksa melupakan Mohamed Elneny sehingga hujung musim kerana rawatan pembedahan lutut.

Situasi bertambah runcing buat pengendalinya, Mikel Arteta apabila perancang tengah, Thomas Partey cedera rusuk ketika menentang Manchester City dalam Piala FA minggu lalu.

MIKEL Arteta (kanan) akhirnya mendapatkan pemain yang sudah diintai sejak beberapa tahun lalu, Jorginho.

Arteta pernah cuba mendapatkan Jorginho dari Chelsea pada 2020, namun rundingan tidak berjaya.

Jorginho, 31, menghabiskan lima musim di Stamford Bridge dan sudah memenangi Liga Juara-Juara serta Liga Europa, selain tonggak Itali ketika menjuarai Kejohanan Eropah 2021.

“Arteta membawa pengaruh besar ketika saya membuat keputusan kerana saya tahu dia telah berusaha mendapatkan saya beberapa kali sebelum ini.

“Semua berlaku dengan pantas, saya akui agak terkejut tetapi mengambil semua ini sebagai cabaran besar dalam karier.

“Ini jersi yang penting, kelab hebat dan besar. Saya gembira dan teruja berada di sini,” kata Jorginho yang menadatangani kontrak 18 bulan. – AGENSI

The post Jorginho pembelian berisiko rendah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *