KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengingatkan semua sekolah di negeri ini agar mempertingkatkan kawalan terhadap pelajar-pelajar sehingga hari terakhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pada 15 Mac depan.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kelantan, Mohd. Zin Halim berkata, kawalan berkenaan dibuat bagi mengelak berlakunya sebarang salah laku termasuk kegiatan vandalisme dan gangsterisme membabitkan pelajar sekolah.

Menurutnya, pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

“Kita sudah memberi peringatan kepada semua sekolah untuk melantik guru bertugas bagi mengawal keadaan di sekolah pada tempoh berkenaan.

“Langkah tersebut dibuat untuk mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini seperti merosakkan harta benda sekolah yang sekali gus mencemarkan nama baik sekolah,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil Banat di sini hari ini.

Terdahulu, tular dua rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah yang dipercayai berlaku di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Dalam video berdurasi 28 saat dan 58 saat itu, kelihatan sekumpulan pelajar merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas pada hari terakhir sesi persekolahan.-UTUSAN

 

 

 

The post JPN Kelantan kawal pelajar hingga hari terakhir SPM elak vandalisme di sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *