KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengetepikan cabaran wakil Liga Perdana, PDRM FC dengan agregat 4-0.

Cemerlang dengan kemenangan 3-0 pada aksi pertama sebagai pasukan pelawat, Khamis lalu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur namun tentangan sengit diberikan PDRM pada aksi kedua di venue sama apabila hanya dibolosi 1-0 pada aksi timbal balik, sebentar tadi.

Situasi itu menyaksikan tugas getir buat pengendalinya, Bojan Hodak untuk mempertajamkan jentera serangan The City Boys menjelang aksi suku akhir berdepan Terengganu pada 6 dan 11 November nanti.

Meskipun Hodak kembali menyenaraikan Paulo Josue dan Akram Mahinan di jentera tengah, PDRM FC terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.

Sebaik memasuki minit ke-27, pengadil bertugas, S. Logeswaran terpaksa menghentikan perlawanan selama kira-kira enam minit selepas salah satu lampu limpah stadium padam.

Jordan Mintah yang mengetuai jentera serangan KL City gagal memecah kubu PDRM sekaligus tiada sebarang gol mampu dihasilkan sepanjang babak pertama.

Kemasukkan penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu, Romel Morales dan Zhafri Yahya jelas menambah kualiti serangan KL City namun beberapa peluang terbaik sepanjang 10 minit awal babak kedua gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Gol yang dicari-cari akhirnya hadir pada minit ke-89 menerusi rembatan Zhafri untuk menewaskan penjaga gol lawan, Firdaus Irman Mohd. Fadhil.

Di suku akhir, misi KL City untuk mempertahankan kejuaraan berdepan tugas getir apabila dijadualkan menentang Terengganu yang menyingkirkan Sri Pahang 9-3 secara agregat. – UTUSAN

The post Juara bertahan Piala Malaysia mara ke suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *