PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada November 2022 bernilai RM238.2 bilion, meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun dengan nilai eksport dan import bernilai RM130.2 bilion dan RM107.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport pada November 2022 meningkat sebanyak RM17.6 bilion (+15.6 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya. 

“Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang meningkat RM10.8 bilion, Sarawak (RM3.2 bilion), Johor (RM1.9 bilion), Kuala Lumpur (RM1.6 bilion), Selangor (RM629.2 juta), Terengganu (+RM315.6 juta), Melaka (RM152.0 juta), Kelantan (RM119.3 juta), Negeri Sembilan (+RM77.4 juta) dan Perlis (RM30.6 juta). 

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Sabah sebanyak RM565 juta, Pahang (RM379.7 juta), Perak (RM180.2 juta), Labuan (RM38.8 juta) dan Kedah (RM13.8 juta),” katanya dalam kenyataan. 

Bagi prestasi import mengikut negeri, Mohd. Uzir berkata, import pada November 2022 juga meningkat RM14.5 bilion (+15.6 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ujarnya, peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM4.6 bilion), Selangor (+RM4.0 bilion), Johor (+RM3.4 bilion), Melaka (+RM1.6 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM640.7 juta), Sarawak (+RM447.8 juta), Terengganu (+RM162.1 juta), Perak (+RM148.6 juta), Perlis (+RM53.1 juta) dan Kelantan (+RM33.1 juta).

“Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.8 peratus, diikuti oleh Johor (19.0 peratus), Selangor (17.7 peratus), Sarawak (9.0 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (5.4 peratus).

“Sementara itu, bagi import, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 26.5 peratus,

diikuti oleh Pulau Pinang (24.3 peratus), Johor (20.7 peratus), W.P. Kuala Lumpur (7.1 peratus) dan Kedah (5.8 peratus),” katanya. – UTUSAN

The post Jumlah dagangan November RM238.2 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *